Friday, October 1, 2021

Seluruh Dunia Dikejutkan Dengan Penularan Virus Covid-19

 


Tiada catatan perjalanan dan pengembaraan bagi Mac 2020 sehingga kini kerana serangan virus covid-19 yang mengganas di seluruh dunia.Ramai di kalangan rakan-rakan telah menjadi mangsa kepada gelombang virus ini.Saya telah mendapat 3 dos, tetapi tetap menjadi mangsa virus ini pada bulan Mac 2022.Pengalaman menjadi mangsa virus ini adalah sangat menyiksakan. Namun demikian, saya tetap besyukur kerana dapat sembuh setelah 7 hari membuat kuarantin diri di rumah.

Tuesday, October 27, 2020

Lawatan ke Singapure dengan WillAlbert dan isterinya Fatima

 25 Oktober 2019 - Kami telah menerima tetamu istimewa dari Milwaukee USA iaitu WillAlbert dan isterinya Fatima pada minggu tersebut. Mereka dapat mengalami kehidupan sebagai rakyat Malaysia. Selain daripada melawat beberapa tempat menarik di Johor Bahru, kami dapat bersama-sama untuk melawat negara jiran iaitu Singapura. Lawatan ini dimulakan dengan kunjungan ke sebuah organisasi NGO Singapura yang menyantuni keperluan masyarakat minoriiti Islam di republik itu.Pn Maznah, sebagai pemimpin NGO berkenan untuk menyampaikan taklimat mengenai aktiviti yang telah mereka laksanakan.

Kami bersama keluarga Will telah turut melawat Masjid Sultan, Espalanade Theatre, Merlion, Gardens by The Bay, hotel ikonik Singapura dan lain-lain.



Bergerak dari JB


Melawat rakan lama, Maznah di Cafe Lina


Sister Fatima, Jamaliah dan Maznah

Di hadapan Masjid Sultan



Di Gardens By The Bay



Group photo






Thursday, April 25, 2019

GUANGZHOU 2.0

Saya berpeluang untuk pergi sekali lagi ke Guangzhou pada 17-24 April 2019. Kisah yang saya share di sini adalah yang berkaitan dengan survival di Bandaraya Guangzhou sahaja. (Urusan pejabat saya tidak kongsikan di sini kerana agaknya pembaca tidak berminat nak tau). Ramai pengembara berpendapat Guangzhou adalah sebuah bandaraya yang sangat sesuai untuk aktiviti membeli-belah kerana kebanyakan produk-produk berinovasi dan berteknologi baru boleh diperolehi di bandaraya ini. termasuklah saya. Dengan nilai Yuan yang lebih rendah berbanding ringgit, ini amatlah memberi kelebihan untuk kita membeli-belah. Pada masa lawatan ini, nilai 1 Yuan bersamaan dengan RM0.62 sen. Namun demikian, perlu diingat bahawa bukan semua perkara yang kita nak beli harganya lebih murah dari negara kita. 


Hari Pertama

Saya keluar dari rumah jam 4:30 pagi dengan perasaan teruja untuk mengejar penerbangan ke KL pada jam 6:30 pagi. Perjalanan kali ini saya menggunakan khidmat Malaysia Airline dari Senai dan transit di KLIA.

Penerbangan diteruskan ke Baiyun International Airport Guangzhou pada jam 9:50 pagi dan sampai di sana jam 3:00 petang. Penerbangan ini mengambil masa 3 Jam 40 minit menggunakan pesawat Airbus A330. Perjalanan lancar dan amat selesa mungkin kerana cuaca yang cerah di sepanjang perjalanan sejauh 2,400km itu.



Setelah selesai urusan imigresen yang agak lama kerana polisi kerajaan China yang ketat untuk pelancong yang datang ke negara tersebut. Semua pelancong dikehendaki membuat pra pendaftaran dengan membuat pengesahan 10 cap jari di mesin sebelum check-in dengan pegawai imigresen. Semasa di kaunter, saya perlu mengenakan cap jari lagi sekali sebagai pengesahan. Keluar sahaja dari kaunter imigresen saya telah menuntut bagasi serta membeli simkad tempatan dengan harga 200RMB se unit. Di negara ini, sosial media terutamanya yang berpengkalan di USA adalah diharamkan, maka sekiranya mahu juga menggunakan sosial media, kita perlu menggunakan aplikasi VPN untuk membolehkan kita bersosial media di Guangzhou. Cuaca di Guangzhou adalah cerah dan panas di sekitar 31 darjah celcius pada masa tersebut. 



Seterusnya saya menaiki teksi menuju ke Pusat Bandar Guangzhou. Perjalanan mengambil masa 1 jam kerana lebuhraya di sini menetapkan had laju yang sangat rendah berbanding di negara kita. Kadar tambang teksi keluar dari airport ke hotel adalah 450 RMB. Kemudian saya telah check in Orange Grand Continental yang letaknya di Beijing Street pada jam 5:00 petang. Hotel ini kadarnya RM190 satu malam. Walaupun harganya agak tinggi, namun keluasan biliknya boleh menempatkan 4 orang kerana keluasan bilik dan 2 katil queen size nya.



Beijing Street adalah kawasan pusat bandar yang menjadi tumpuan rakyat tempatan dan pelancong melaksanakan urusan masing-masing. Ada yang membeli bahan-bahan makanan selepas balik kerja, ada yang membeli belah, ada yang berhibur, ada yang bertemujanji dan macam-macam urusan lagi di sini.

Malam tersebut, saya berjalan kaki ke Beijing Street dan makan malam di Restoran Lombok - sebuah restoran yang menghidangkan masakan Indonesia kepada pelanggan-pelangganya. Makanan di restoran ini sangat sedap dan saya beri 4 bintang. Cuma harganya agak tinggi kerana ianya terletak di tengah-tengah bandaraya ini. Saya juga dimaklumkan bahawa transaksi di bandaraya ini banyak menggunakan tunai, maka agak menyukarkan kepada pelancong seperti kita nak melancong di sini kalau tidak mempunyai tunai yang mencukupi.

Restoran Lombok

Antara juadah yang saya makan. Juadah bernama Iga Bakar adalah favourite 

Salah Satu bangunan yang penting di  Beijing Street 



Hari Kedua

Awal-awal pagi, saya menggunakan Guangzhou Metro(GM) mencari pengurup wang dan sarapan pagi. Menaiki GM dari stesen Beijing Lu menuju ke Yuixie Lu untuk pergi ke tempat tukar wang. Tetapi apabila sampai di lokasi tersebut, saya terlalu awal dan kedai belum buka lagi, jadi saya decide pergi makan sarapan. Setelah berjalan dengan gigih hampir 1 km barulah saya berjumpa dengan kedai makanan halal yang sedang dibuka. Di kedai ini, saya telah menempah nasi goreng dan burger cina. Alhamdulillah saya boleh terima makanan tersebut dan sedap pula dimakan.

Pemandangan dari luar bilik saya

Restroran berhampiran Sut Yat Sen Memorial Park Stesen

Nasi goreng yang sedap, tapi telalu banyak hingga saya tapau utk makan malam

Ini burger Guangzhou. Rasanya sedap berintikan daging



Hari Ketiga - Solat Jumaat

Cuaca pada pagi Jumaat ini mendung yang kelihatan seperti malam. Apabila melawat ke bandaraya ini, adalah menjadi satu kewajipan untuk  menunaikan solat Jumaat di Masjid Saad B Abi Waqas, salah seorang sahabat Baginda Rasulullah saw. Ini adalah menurut rakan-rakan pengembara kerana kita berpeluang beribadat serta mengenali masyarakat islam tempatan dengan lebih dekat lagi.

Hari ini, saya tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat Jumaat. Menaiki Guangzhou Metro dari Stesen Beijing Lu, saya turun di stesen Yuixie Park. Dari YuiXie park, saya keluar di pintu B, melalui Orchid Park dan akhirnya sampai di Masjid berkenaan. Masjid yang dibina beribu tahun yang lalu dan menjadi lokasi utama rakyat tempatan menunaikan solat Jumaat.

Solat Jumaat di sini hanya khutbah sekali sahaja dan khutbahnya agak pendek menggunakan bahasa arab. Menunaikan solat Jumaat di sini adalah satu pengalaman yang manis kerana masjid ini telah mengumpulkan umat Islam dari pelbagai warna dan keturunan. Semuanya menyembah Allah yang satu.

pintu masuk utama masjid

keadaan di dalam ruang solat

Setelah selesai menunaikan solat, saya telah menyerang gerai-gerai makanan halal yang dijual di perkarangan masjid tersebut. Semuanya membangkitkan selera dan hanya boleh dibeli pada hari Jumaat sahaja. Saya dapat mencuba nasi goreng dengan kaki kambing, daging grill seperti sate, nasi arab Mandy dan jus tembikai. Juadah yang lain saya tidak sempat mencuba kerana terlalu kenyang dengan apa yang telah dibeli seperti lamb Mandy, sate kambing, ayam goreng dan kambing bakar.

Nasi Mandy

masakan islam Uighur

masakan berkuah tempatan

Nasi Goreng dengan Kaki Kambing

Lagi satu masakan berkuah

Shopping

Kalau anda berada di Guangzhou, jangan lepaskan peluang untuk membeli belah kerana terlalu banyak yang bandaraya ini boleh tawarkan kepada anda. Boleh dikatakan bahawa apa saja produk pengguna di negara kita, boleh dibeli di Guangzhou.

Sebagai contoh, kalau kita ke Guangzhou, saya cadangkan kita pergi ke pusat jualan accessories telefon yang letaknya tidak jauh dari stesen Culture Park. Di sini, kita akan berjumpa dengan sebuah kompleks yang menjual hanya accessories telefon sahaja. Kita boleh beli screen protector, earphone, speaker, memory kad, microphone, smart watch dan sebagainya. Kalau kita beli dengan kuantiti yang banyak, kita boleh membida harga yang kita inginkan. Sebagai pelanggan, kita boleh memilih produk berdasarkan kualiti dan jenama yang memenuhi citarasa kita. Antara produk terkenal yang membuat jualan di sini adalah Remax dan Ldnio.

Kalau kita berminat dengan jam tangan, di sini ada dua buah pasaraya yang khusus menjual jam tangan dari pelbagai model dan jenama. Produk jam tangan di sini memang membangkitkan perasaan untuk kita membeli. Jadi kalau dah sampai sini, beli satu atau dua unit untuk pujuk diri kan. Kalau kita betul-betul serius nak membeli model jam tangan yang exotic atau gred mahal, boleh la bertanya kepada penjual, mereka akan secara sukarela membawa anda ke kedai yang dimasudkan.

Kalau kita berminat dengan barangan hadiah atau cenderahati, di sini juga ada sebuah pasaraya yang khusus menjual barang-barang tersebut. Kita boleh bayangkan sebuah pasaraya sebesar Lot 10 khusus menjual barangan cenderahati dan hadiah untuk anda. Maka pilihlah dan belilah barangan yang kita minati di sini.Sekiranya anda berminat nak mengumpul 'collectibles' dari Eropah seperti yang biasa orang beli di Belanda, UK dan Paris, anda boleh beli semuanya di sini. Contohnya seperti replika bangunan, patung2 pengawal istana Buckingham, terompah belanda, semuanya ada di sini.

Mall khusus menjual hadiah dan cenderahati :  duduk sebentar kerana keletihan berjalan


Kalau kita berminat untuk membeli produk kulit, kita pergi ke Baiyun World Leather Trading Center. Di sini kita akan menjumpai produk berasaskan kulit yang cantik dan mewah untuk kita beli. Ada juga produk jenama antarabangsa yang dijual disini. Cuma kita perlu berbicara dengan pemilik kedai supaya boleh mengaturkan lawatan ke pusat barangan kulit berjenama kepada kita.

Empat pasaraya yang terbesar bagi peminat produk kulit

Berhampiran dengan hotel tempat saya menginap, ada sebuah shopping mall yang baru dibuka. Di dalam Mall ini terdapat kedai-kedai pernigaan seperti di negara kita. Stesen Guangzhou Metro, Beijing Street juga letaknya di dalam mall ini. Di sini saya dapat menikmati makanan halal tempatan yang berasaskan mee tarik. Memang ada demo membuat mee tarik secara langsung dan juga pelbagai variasi mee dijual di sini. Saya punya komen adalah, memang kita kenyang semasa makan mee ni, tetapi akan rasa lapar semula sebab ianya seumpama memakan mee segera di sini. Jadi, kepada orang Malaysia yang totok nasi, mesti kena makan nasi juga baru puas.

Juadah roti, mee tarik dan daging bakar. Air teh percuma

Makan sorang-sorang. tapi habis juga

Trip kali ini saya sempat melawat Macau Tower iaitu sebuah bangunan yang menjadi ikon kepada Bandaraya Guangzhou. Apabila telah sampai di bawah bangunan tersebut, pihak pengurusan telah memberi diskaun kepada saya menggunakan pass masuk Canton Fair. Oleh kerana nilai diskaunnya agak lumayan, maka saya mengambil peluang ini untuk pergi ke tingkat atas. Di anjung tinjau ini, saya telah dapat melihat keseluruhan bandaraya ini kerana ketinggian menara ini hampir padan dengan menara Kuala Lumpur.

Canton Tower sebagai ikon penting Bandaraya Guangzhou

Di anjung tinjau

Bandaraya Guangzhou selepas hujan



Hari Ketujuh

Pagi-pagi saya telah keluar menaiki GM hingga ke Guangzhou South Railway Station. Guangzhou South Railway Station adalah pintu keluar kepada perjalanan jauh samada menggunakan keretapi biasa atau keretapi laju (bullet train). Niat di hati nak mencuba bullet train ke bandar lain seperti Zhuhai(Macau), Guilin atau ke Shenzen. Tetapi apakan daya kerana saya tidak memahami tulisan di signboard. Keadaan ini menyebabkan saya membatalkan niat untuk menaiki keretapi untuk pergi ke lokasi yang disenaraikan. Setelah berjalan-jalan di dalam stesen tersebut, saya buat keputusan untuk kembali semula ke hotel untuk persiapan pulang ke Malaysia.

inilah contoh papan pemuka keretapi yang saya tidak faham 


Sebenarnya perkhidmatan keretapi GM dari Guangzhou disediakan untuk ke Lapangan terbang, namun oleh kerana saya membawa beg-beg yang agak besar, maka terpaksalah menggunakan khidmat teksi di mana kadar teksi untuk ke lapangan terbang adalah 450 Yuan. Memang lumayan pendapatan driver teksi tersebut sedangkan kalau menggunakan GM, tambangnya kurang daripada 30 Yuan.

Penerbangan pulang saya adalah pada jam 3:00 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru. 

Kesimpulan

1. Layanan masyarakat tempatan tidak mesra dan bahasa merupakan penghalang utama untuk berurusan.
2. Masyarakat tempatan lebih mempercayai transaksi tunai berbanding dengan transaksi lain
3. Terdapat banyak restoran halal yang boleh dilawati di bandaraya ini.
4. Cara lawatan yang termurah adalah dengan menggunakan Guanzhou Metro iaitu sistem keretapi bawah tanah yang moden dan selesa.
5. Kedai makan di sini tidak sediakan air bancuh seperti teh atau milo, kebanyakan pengusaha restoran hanya fokus memasak makanan sahaja. Manakala minuman teh cina disediakan percuma.

Monday, February 11, 2019

BEBERAPA MENARA DI DUNIA YANG TELAH SAYA LAWAT

Saya kongsikan pengalaman saya melawat menara-menara di seluruh dunia setakat ini. 

1. Willis Tower, Chicago USA



Willis Tower, dahulu dikenali sebagai Sears Tower adalah bangunan 110 tingkat dengan ketinggian 442 meter. Ini adalah menara tertinggi di dunia selama 25 tahun sejak tahun 1973 hingga tahun1998. Menara ini menjadi mercu tanda (landmark) yang penting kepada Bandaraya Chicago. 

Saya melawat menara ini pada tahun 1995 di mana pada masa itu saya dalam perjalanan balik ke Milwaukee. Saya menggunakan subway dari University of Illinois dan turun di Chicago Railway station. Dari situ saya berjalan kaki sahaja ke Willis Tower. Di dalam perjalanan itu, sempat saya melawat arca yang dihasilkan oleh Pablo Picassso sebelum sampai di Willis Tower. Pada masa itu, menara ini menyediakan lif ekspress untuk pelawat atau pelancong pergi ke observation deck.


Apabila berada di observation deck, kita boleh nampak muka bumi yang melengkung di hadapan kita. Sehingga ada yang mendakwa sekiranya cuaca cerah, kita mungkin boleh lihat bandar Milwaukee dari menara tersebut(biar betul). 

     

Pemandangan ke utara, kita boleh nampak Bangunan John Hancock dan Tasik Michigan 


Inilah pemandangan Willis Tower dari Chicago River, rugilah kalau tak 
naik obervation deck kalau dah sampai sini




2. Namsan Seoul Tower, Korea Selatan


N Seoul Tower saya lawati pada tahun 2011. Menara ini dibina pada tahun 1971. Setinggi 236 meter, ianya adalah menara komunikasi bagi beberapa stesen tv utama Korea seperti KBS dan SBS. Saya sekeluarga melawat menara ini pada musim bunga tahun 2011. Cuaca pada malam tersebut sangat sejuk sehingga kami terpaksa memakai glove dan menutup telinga. 

Kami melawat menara ini kerana ianya adalah lokasi penggambaran drama Boys Over Flower yang popular pada tahun 2008. Kami adalah pelancong yang terakhir turun dari stesen kabel di menara tersebut. Saya terbayang, andainya terlepas kereta kabel tu, boleh jadi saya tidur di dalam kereta kabel seperti dalam adegan drama Boys Over Flower. Di bahagian bawah menara kita boleh melawat Teddy Bear Museum dan beberapa kedai cenderahati dan snek, manakala di atas menara, restoran yang bertaraf sederhana mewah menanti kehadiran kita.
Pemandangan Namsan Tower di waktu malam

Di Namsan Tower, Seoul




3. Menara Kuala Lumpur, Malaysia



Menara Kuala Lumpur adalah menara telekomunikasi yang siap dibina pada tahun 1995. Ketinggian menara ini adalah 421 meter (1,099kaki) di mana ia dikira sebagai menara ke 7 tertinggi di dunia. Menara ini terdiri daripada lif dan tangga untuk membolehkan pengunjung menuju ke anjung tinjau. Di situ terletaknya restoran berputar yang menyediakan makanan dan pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur. Pastikan anda sudah buat tempahan sebelum datang kerana tempat makan adalah terhad.


Saya sekeluarga berpeluang untuk melawat menara KL pada tahun 2013. Di bawah menara ini, banyak kedai-kedai cenderamata dan juga mini zoo dibuka untuk menggamit pelancong. Saya sekeluarga mendapat tahu wujudnya restoran berputar dengan jenama @mosphere di atas menara tersebut. Apabila membelek buku menu, saya rasa lain kali sajalah nak masuk sebab harganya tidak mampu milik pada masa itu. Jadi kami cuma naik atas dan menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur.


Kedai Souvenir di Menara KL

Dek Pemerhatian di Menara KL



4. Canton Tower, Guangzhou, China


Canton Tower siap dibina pada Oktober 2010 dan ianya mercu tanda penting kepada Bandaraya Guangzhou. Canton Tower ini disiapkan bersempena dengan Sukan Asia yang dianjurkan oleh Bandaraya Guangzhou. Ianya adalah menara komunikasi setinggi 604 meter yang juga digunakan sebagai tarikan pelancongan. Menurut wikipedia, Canton Tower adalah menara ke 4 tertinggi di dunia.


Untuk pergi ke Canton Tower ini, pengangkutan yang paling mudah dan murah adalah melalui rangkain subway bandaraya ini. Subway stesen letaknya betul-betul di bawah menara tersebut. Untuk makluman juga Bandaraya Guangzhou ni teksi nya jauh lebih mahal berbanding subway. 


Pada waktu malam, menara ini dengan lampu yang berwarna-warni menjadikannya hiasan yang menarik kepada Bandaraya Guangzhou. Anjung tinjaunya berada di ketinggian 440m menjadikannya anjung kedua tetinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai.


Canton Tower

Pandangan Menara Canton dari dataran

Pemandangan dari Anjung Tinjau Menara Canton

Berlantaikan cermin





5. Petronas Twin Tower, Kuala Lumpur, Malaysia 



Menara berkembar Petronas adalah bangunan tertinggi di dunia dari tahun 1998 sehingga 2004. Walau bagaimanapun, Menara Berkembar Petronas masih memegang rekod bagunan berkembar tertinggi di dunia sehingga kini. Menara berkembar Petronas ini telah sekian lama menjadi lanskap bandaraya KL dan akan kekal menjadi bangunan utama dalam tempoh yang panjang di masa akan datang. Pada tahun 2018 dan 2019 saya berpeluang melawat Petronas Twin Tower. Sistem yang digunakan oleh bagunan ini agak canggih dan tersusun walapun ianya sudah berumur 20 tahun. Ianya boleh la dianggap kejayaan negara Malaysia.



Berada di tingkat 44, Skybridge yang menghubung dua menara.


Galeri di tingkat 84


Pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur



6. Umeda Building, Osaka, Japan


Umeda Building Osaka ini siap dibina pada tahun 1993 dengan ketinggian 173 meter (568 kaki) 
Keunikan Umeda Building ini adalah konsep pembinaannya berdasarkan bandaraya di udara. 
Rekabentuk bangunan ini sendiri adalah unik kerana ianya berbentuk seperti UFO yang 
mendarat di atas bangunan.Untuk naik ke observation deck adalah percuma. Tetapi kalau nak 
naik lagi hingga ke open air, perlu bayar tiket.


Pemandangan badaraya Osaka, Jepun


Di ruang pemerhatian menara Umeda

Wednesday, January 2, 2019

MINI REUNION DI LANGKAWI

4-6 November 2018 - seronok nak jumpa dengan brothers yang sama-sama belajar di Milwaukee dulu. Walaupun planning nya sekejap je, tapi kesan dia memang terbaik Bak Hang. Kami datang dari pelbagai lokasi dan berjumpa di Langkawi buat julung-julung kalinya. Ahli-ahli yang berjaya menghadirkan diri adalah Hasman Farid, Azim dan Asmadi Yusri (Max) dari KL, Asmadi ngan Syahrizan dari Johor Bahru, Affendy dari Puchong serta Shahril dari Langkawi.

Kami menginap di Pantai Cenang untuk 3 hari 2 malam. Setibanya kami di tempat penginapan, kami mengambil peluang untuk mandi di kolam renang resort tersebut. Selepas itu kami berjemaah solat dan kemudian makan malam di Restoran Nelayan Teluk Baru. Makan di kedai ni, boleh tahan juga masa nak tunggu makanan sampai. Tapi bila masakan sampai memang berbaloi lah dengan rasa sedap dan cukup serba serbinya dan harganya pun mampu bayar. Selepas itu, kami berehat untuk hari pertama. 

Hari kedua, kami semua menyertai aktiviti Island Hopping ke Pulau Beras Basah. Pulau ni cantik juga kalau nak buat aktiviti snorkeling. Kemudian kami bergerak pula ke pulau bersebelahan dan melihat aktiviti Memberi Makan Burung Helang. Memang banyak helang yang berkeliaran di kawasan ini menanti pengunjung memberi makan. Kemudian kami di bawa ke  Pulau Dayang Bunting. Disini dapat juga kami melawat sebuah tasik yang besar di tengah-tengah sebuah Pulau yang kecil yang dikenali sebagai Tasik Dayang Bunting. Ada banyak aktiviti air yang boleh dilakukan di Tasik ini. 

Hari Ketiga kami melawat Pantai Tanjung Rhu. Pantai ini terletak di Timur Laut Pulau Langkawi. Pantai ini mempunyai pemandangan yang cantik kerana ianya dihiasi dengan beberapa pulau kecil di tengah lautan seperti Pulau Chabang dan Pulau Kelam Baya. Apabila air laut surut, sebahagian daripada pantai itu menjadi cetek dan kita boleh berjalan ke pulau berhampiran. Selain daripada aktiviti mandi manda, terdapat sebuah jeti untuk aktiviti menyusuri hutan paya bakau yang diiktiraf UNESCO. Kami sempat singgah di kedai makan pantai tersebut. Makan di sini harganya murah dan sangat menyelereakan.

Tempat makan yang kami lawati juga tidak mengecewakan terutamanya Restoran Cili Kampung di Mukim Kedawang. Dia punya masakan memang terbaik lah. Kalau pergi Langkawi saya sarankan pergilah ke restoran ni. Anda tidak akan kecewa. Cuma satu sahaja pesan saya, kalau boleh buat tempahan dulu sebelum datang kerana bimbang kena tunggu lama untuk mendapat hidangan. 

Bila berjumpa begini, timbul lah balik kisah-kisah lama semasa mula belajar nak hidup. Kisah-kisah lucu dan tragis turut diimbau kembali. Terasa macam muda semula tu. Walau bagaimanapun, situasi terkini juga dibincangkan seperti ada yang telah berjaya di dalam kerjaya dan perniagaan dan sebagainya. Setelah tamat sesi bersama-sama, semua ahli bersetuju untuk menganjurkan reunion sebagai acara ulangan yang lebih kerap di masa akan datang.


Ketibaan di Airport Langkawi


pertemuan pertama walau flight berbeza


Selepas pekena laksa power di tepi airport Langkawi 
dari kiri : Hasman, Shahril, Syahrizan, Me, Azim, Affendy dan Aisyah


Ambil gambar di tempat penginapan kami 


Mandi kolam renang dulu


Solat Fardhu berjemaah macam kat UWM student hall tidak dilupakan


Bergambar di ruang tamu pengiapan 


Pantai Cenang


Pulau Beras Basah


Merasa juga masuk air


Eagle Feeding


Di Tasik Dayang Bunting


Jeti Island Hopping


Kenangan yang sempat diabadikan




Lunch di Restoran Cili Kampung, Marbeles


Restoran Cili Kampung. Kena order dulu untuk mengelakkan 
episod sabar menanti. Bila makanan dah terhidang... 
seriuosly sangat sedap.


Dataran Lang


Pantai Tanjung Rhu. makan kat sini memang class macam kat Maui

Masa untuk mengucapkan selamat tinggal