Sunday, March 12, 2017

Dis 1994 - First Time Naik Kapal Terbang

24 Disember 1994 - Journey to The Land Of Free


Sebagai seorang budak kampung, peluang menaiki kapal terbang adalah satu pengalaman yang sangat ditunggu-tunggu. Kerap juga termimpi tertinggal kapal terbang, apabila terjaga dari tidur, oh rupanya saya bermimpi. Pada tahun inilah, pertama kali saya berpeluang mengembara ke negara orang. Dan inilah kali pertama saya naik Kapal Terbang. Rasa suka ada, takut pun ada... tetapi rasa teruja melebihi segala rasa yang ada dalam diri. Terima kasih kepada JPA kerana membiayai pembelajaran saya dan keluarga yang menyokong serta turut menghantar saya ke LTAS

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang

Ahli keluarga termasuk arwah Emak dan adik-beradik yang turut menghantar saya di LTAS

Lagi gambar kenangan sebelum perjalanan yang jauh ke bumi Amerika



Take off 4:30 p.m. Malaysia Time


Perjalanan pertama adalah dari menaiki pesawat Boeing 747 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada jam 4:00 Petang. Kapal terbang ini memang luas dan selesa. Kalau terlanggar awan atau air pocket, gegarannya kurang sikit. Persinggahan pertama penerbangan ini adalah ke Chiang Kai Shek International Airport Taiwan yang mengambil masa 4 jam. Apabila telah sampai di CKS International Airport, saya transit tanpa keluar dalam tempoh satu jam di Airport tersebut. Setelah kami beramai-ramai berehat di terminal transit, perjalanan diteruskan ke Los Angeles International Airport (LAX) dengan menggunakan pesawat yang sama. Perjalanan ke Los Angeles ini mengambil masa 18 jam.
Boeing 747


Landed LAX, 2:30 p.m. LA Local time


Saya bersyukur kerana sampai di LAX dengan selamat. Saya ada rasa pening kerana apabila sampai di LAX, saya sebenarnya 2 jam lebih awal daripada departure time di LTAS. Dengan kata lain, setelah meninggalkan Malaysia pada jam 4:00 petang 24 Disember 1994, saya sampai di LAX pada 24 Disember jam 2:30 petang. Pening juga memikirkan bagaimana situasi itu boleh berlaku. Akhirnya saya mengambil pendekatan dengan abaikan sahaja fikiran itu dengan mengatakan itu rahsia penerbangan, buat apa nak detail sangat. Bila keluar dari pesawat, cuaca sedikit mendung dengan suhu 16 Celcius. Nyaman sungguh. Pengalaman menarik semasa di imigresen, oleh kerana saya ni agak comel dan awet muda, pegawai imigresen tu telah tengok atas bawah dengan merujuk kepada gambar passport saya dan bertanya "Is this really you?" 

Saya dan rakan-rakan kemudian dibawa ke sebuah hotel di Los Angeles untuk menghadiri kursus selama 3 hari yang dianjurkan oleh Malaysian Students Department (MSD). Kursus seperti biasalah, ada penerangan, ada peringatan dan ada pesanan yang mesti diikuti oleh kami. Selepas tamat kurus, dapat juga kami bersiar-siar di Bandaraya Los Angeles. Di sinilah saya membeli baju sejuk dengan harga USD60 Dollar di pasaraya KOHL. Saya membeli winter coat ni kerana baru tau tahap sejuknya winter di Milwaukee adakalanya diluar jangkaan.

Los Angeles International Airport (LAX)