Thursday, April 25, 2019

GUANGZHOU 2.0

Saya berpeluang untuk pergi sekali lagi ke Guangzhou pada 17-24 April 2019. Kisah yang saya share di sini adalah yang berkaitan dengan survival di Bandaraya Guangzhou sahaja. (Urusan pejabat saya tidak kongsikan di sini kerana agaknya pembaca tidak berminat nak tau). Ramai pengembara berpendapat Guangzhou adalah sebuah bandaraya yang sangat sesuai untuk aktiviti membeli-belah kerana kebanyakan produk-produk berinovasi dan berteknologi baru boleh diperolehi di bandaraya ini. termasuklah saya. Dengan nilai Yuan yang lebih rendah berbanding ringgit, ini amatlah memberi kelebihan untuk kita membeli-belah. Pada masa lawatan ini, nilai 1 Yuan bersamaan dengan RM0.62 sen. Namun demikian, perlu diingat bahawa bukan semua perkara yang kita nak beli harganya lebih murah dari negara kita. 


Hari Pertama

Saya keluar dari rumah jam 4:30 pagi dengan perasaan teruja untuk mengejar penerbangan ke KL pada jam 6:30 pagi. Perjalanan kali ini saya menggunakan khidmat Malaysia Airline dari Senai dan transit di KLIA.

Penerbangan diteruskan ke Baiyun International Airport Guangzhou pada jam 9:50 pagi dan sampai di sana jam 3:00 petang. Penerbangan ini mengambil masa 3 Jam 40 minit menggunakan pesawat Airbus A330. Perjalanan lancar dan amat selesa mungkin kerana cuaca yang cerah di sepanjang perjalanan sejauh 2,400km itu.



Setelah selesai urusan imigresen yang agak lama kerana polisi kerajaan China yang ketat untuk pelancong yang datang ke negara tersebut. Semua pelancong dikehendaki membuat pra pendaftaran dengan membuat pengesahan 10 cap jari di mesin sebelum check-in dengan pegawai imigresen. Semasa di kaunter, saya perlu mengenakan cap jari lagi sekali sebagai pengesahan. Keluar sahaja dari kaunter imigresen saya telah menuntut bagasi serta membeli simkad tempatan dengan harga 200RMB se unit. Di negara ini, sosial media terutamanya yang berpengkalan di USA adalah diharamkan, maka sekiranya mahu juga menggunakan sosial media, kita perlu menggunakan aplikasi VPN untuk membolehkan kita bersosial media di Guangzhou. Cuaca di Guangzhou adalah cerah dan panas di sekitar 31 darjah celcius pada masa tersebut. 



Seterusnya saya menaiki teksi menuju ke Pusat Bandar Guangzhou. Perjalanan mengambil masa 1 jam kerana lebuhraya di sini menetapkan had laju yang sangat rendah berbanding di negara kita. Kadar tambang teksi keluar dari airport ke hotel adalah 450 RMB. Kemudian saya telah check in Orange Grand Continental yang letaknya di Beijing Street pada jam 5:00 petang. Hotel ini kadarnya RM190 satu malam. Walaupun harganya agak tinggi, namun keluasan biliknya boleh menempatkan 4 orang kerana keluasan bilik dan 2 katil queen size nya.



Beijing Street adalah kawasan pusat bandar yang menjadi tumpuan rakyat tempatan dan pelancong melaksanakan urusan masing-masing. Ada yang membeli bahan-bahan makanan selepas balik kerja, ada yang membeli belah, ada yang berhibur, ada yang bertemujanji dan macam-macam urusan lagi di sini.

Malam tersebut, saya berjalan kaki ke Beijing Street dan makan malam di Restoran Lombok - sebuah restoran yang menghidangkan masakan Indonesia kepada pelanggan-pelangganya. Makanan di restoran ini sangat sedap dan saya beri 4 bintang. Cuma harganya agak tinggi kerana ianya terletak di tengah-tengah bandaraya ini. Saya juga dimaklumkan bahawa transaksi di bandaraya ini banyak menggunakan tunai, maka agak menyukarkan kepada pelancong seperti kita nak melancong di sini kalau tidak mempunyai tunai yang mencukupi.

Restoran Lombok

Antara juadah yang saya makan. Juadah bernama Iga Bakar adalah favourite 

Salah Satu bangunan yang penting di  Beijing Street 



Hari Kedua

Awal-awal pagi, saya menggunakan Guangzhou Metro(GM) mencari pengurup wang dan sarapan pagi. Menaiki GM dari stesen Beijing Lu menuju ke Yuixie Lu untuk pergi ke tempat tukar wang. Tetapi apabila sampai di lokasi tersebut, saya terlalu awal dan kedai belum buka lagi, jadi saya decide pergi makan sarapan. Setelah berjalan dengan gigih hampir 1 km barulah saya berjumpa dengan kedai makanan halal yang sedang dibuka. Di kedai ini, saya telah menempah nasi goreng dan burger cina. Alhamdulillah saya boleh terima makanan tersebut dan sedap pula dimakan.

Pemandangan dari luar bilik saya

Restroran berhampiran Sut Yat Sen Memorial Park Stesen

Nasi goreng yang sedap, tapi telalu banyak hingga saya tapau utk makan malam

Ini burger Guangzhou. Rasanya sedap berintikan daging



Hari Ketiga - Solat Jumaat

Cuaca pada pagi Jumaat ini mendung yang kelihatan seperti malam. Apabila melawat ke bandaraya ini, adalah menjadi satu kewajipan untuk  menunaikan solat Jumaat di Masjid Saad B Abi Waqas, salah seorang sahabat Baginda Rasulullah saw. Ini adalah menurut rakan-rakan pengembara kerana kita berpeluang beribadat serta mengenali masyarakat islam tempatan dengan lebih dekat lagi.

Hari ini, saya tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat Jumaat. Menaiki Guangzhou Metro dari Stesen Beijing Lu, saya turun di stesen Yuixie Park. Dari YuiXie park, saya keluar di pintu B, melalui Orchid Park dan akhirnya sampai di Masjid berkenaan. Masjid yang dibina beribu tahun yang lalu dan menjadi lokasi utama rakyat tempatan menunaikan solat Jumaat.

Solat Jumaat di sini hanya khutbah sekali sahaja dan khutbahnya agak pendek menggunakan bahasa arab. Menunaikan solat Jumaat di sini adalah satu pengalaman yang manis kerana masjid ini telah mengumpulkan umat Islam dari pelbagai warna dan keturunan. Semuanya menyembah Allah yang satu.

pintu masuk utama masjid

keadaan di dalam ruang solat

Setelah selesai menunaikan solat, saya telah menyerang gerai-gerai makanan halal yang dijual di perkarangan masjid tersebut. Semuanya membangkitkan selera dan hanya boleh dibeli pada hari Jumaat sahaja. Saya dapat mencuba nasi goreng dengan kaki kambing, daging grill seperti sate, nasi arab Mandy dan jus tembikai. Juadah yang lain saya tidak sempat mencuba kerana terlalu kenyang dengan apa yang telah dibeli seperti lamb Mandy, sate kambing, ayam goreng dan kambing bakar.

Nasi Mandy

masakan islam Uighur

masakan berkuah tempatan

Nasi Goreng dengan Kaki Kambing

Lagi satu masakan berkuah

Shopping

Kalau anda berada di Guangzhou, jangan lepaskan peluang untuk membeli belah kerana terlalu banyak yang bandaraya ini boleh tawarkan kepada anda. Boleh dikatakan bahawa apa saja produk pengguna di negara kita, boleh dibeli di Guangzhou.

Sebagai contoh, kalau kita ke Guangzhou, saya cadangkan kita pergi ke pusat jualan accessories telefon yang letaknya tidak jauh dari stesen Culture Park. Di sini, kita akan berjumpa dengan sebuah kompleks yang menjual hanya accessories telefon sahaja. Kita boleh beli screen protector, earphone, speaker, memory kad, microphone, smart watch dan sebagainya. Kalau kita beli dengan kuantiti yang banyak, kita boleh membida harga yang kita inginkan. Sebagai pelanggan, kita boleh memilih produk berdasarkan kualiti dan jenama yang memenuhi citarasa kita. Antara produk terkenal yang membuat jualan di sini adalah Remax dan Ldnio.

Kalau kita berminat dengan jam tangan, di sini ada dua buah pasaraya yang khusus menjual jam tangan dari pelbagai model dan jenama. Produk jam tangan di sini memang membangkitkan perasaan untuk kita membeli. Jadi kalau dah sampai sini, beli satu atau dua unit untuk pujuk diri kan. Kalau kita betul-betul serius nak membeli model jam tangan yang exotic atau gred mahal, boleh la bertanya kepada penjual, mereka akan secara sukarela membawa anda ke kedai yang dimasudkan.

Kalau kita berminat dengan barangan hadiah atau cenderahati, di sini juga ada sebuah pasaraya yang khusus menjual barang-barang tersebut. Kita boleh bayangkan sebuah pasaraya sebesar Lot 10 khusus menjual barangan cenderahati dan hadiah untuk anda. Maka pilihlah dan belilah barangan yang kita minati di sini.Sekiranya anda berminat nak mengumpul 'collectibles' dari Eropah seperti yang biasa orang beli di Belanda, UK dan Paris, anda boleh beli semuanya di sini. Contohnya seperti replika bangunan, patung2 pengawal istana Buckingham, terompah belanda, semuanya ada di sini.

Mall khusus menjual hadiah dan cenderahati :  duduk sebentar kerana keletihan berjalan


Kalau kita berminat untuk membeli produk kulit, kita pergi ke Baiyun World Leather Trading Center. Di sini kita akan menjumpai produk berasaskan kulit yang cantik dan mewah untuk kita beli. Ada juga produk jenama antarabangsa yang dijual disini. Cuma kita perlu berbicara dengan pemilik kedai supaya boleh mengaturkan lawatan ke pusat barangan kulit berjenama kepada kita.

Empat pasaraya yang terbesar bagi peminat produk kulit

Berhampiran dengan hotel tempat saya menginap, ada sebuah shopping mall yang baru dibuka. Di dalam Mall ini terdapat kedai-kedai pernigaan seperti di negara kita. Stesen Guangzhou Metro, Beijing Street juga letaknya di dalam mall ini. Di sini saya dapat menikmati makanan halal tempatan yang berasaskan mee tarik. Memang ada demo membuat mee tarik secara langsung dan juga pelbagai variasi mee dijual di sini. Saya punya komen adalah, memang kita kenyang semasa makan mee ni, tetapi akan rasa lapar semula sebab ianya seumpama memakan mee segera di sini. Jadi, kepada orang Malaysia yang totok nasi, mesti kena makan nasi juga baru puas.

Juadah roti, mee tarik dan daging bakar. Air teh percuma

Makan sorang-sorang. tapi habis juga

Trip kali ini saya sempat melawat Macau Tower iaitu sebuah bangunan yang menjadi ikon kepada Bandaraya Guangzhou. Apabila telah sampai di bawah bangunan tersebut, pihak pengurusan telah memberi diskaun kepada saya menggunakan pass masuk Canton Fair. Oleh kerana nilai diskaunnya agak lumayan, maka saya mengambil peluang ini untuk pergi ke tingkat atas. Di anjung tinjau ini, saya telah dapat melihat keseluruhan bandaraya ini kerana ketinggian menara ini hampir padan dengan menara Kuala Lumpur.

Canton Tower sebagai ikon penting Bandaraya Guangzhou

Di anjung tinjau

Bandaraya Guangzhou selepas hujan



Hari Ketujuh

Pagi-pagi saya telah keluar menaiki GM hingga ke Guangzhou South Railway Station. Guangzhou South Railway Station adalah pintu keluar kepada perjalanan jauh samada menggunakan keretapi biasa atau keretapi laju (bullet train). Niat di hati nak mencuba bullet train ke bandar lain seperti Zhuhai(Macau), Guilin atau ke Shenzen. Tetapi apakan daya kerana saya tidak memahami tulisan di signboard. Keadaan ini menyebabkan saya membatalkan niat untuk menaiki keretapi untuk pergi ke lokasi yang disenaraikan. Setelah berjalan-jalan di dalam stesen tersebut, saya buat keputusan untuk kembali semula ke hotel untuk persiapan pulang ke Malaysia.

inilah contoh papan pemuka keretapi yang saya tidak faham 


Sebenarnya perkhidmatan keretapi GM dari Guangzhou disediakan untuk ke Lapangan terbang, namun oleh kerana saya membawa beg-beg yang agak besar, maka terpaksalah menggunakan khidmat teksi di mana kadar teksi untuk ke lapangan terbang adalah 450 Yuan. Memang lumayan pendapatan driver teksi tersebut sedangkan kalau menggunakan GM, tambangnya kurang daripada 30 Yuan.

Penerbangan pulang saya adalah pada jam 3:00 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru. 

Kesimpulan

1. Layanan masyarakat tempatan tidak mesra dan bahasa merupakan penghalang utama untuk berurusan.
2. Masyarakat tempatan lebih mempercayai transaksi tunai berbanding dengan transaksi lain
3. Terdapat banyak restoran halal yang boleh dilawati di bandaraya ini.
4. Cara lawatan yang termurah adalah dengan menggunakan Guanzhou Metro iaitu sistem keretapi bawah tanah yang moden dan selesa.
5. Kedai makan di sini tidak sediakan air bancuh seperti teh atau milo, kebanyakan pengusaha restoran hanya fokus memasak makanan sahaja. Manakala minuman teh cina disediakan percuma.