Tuesday, June 20, 2017

SONATA MUSIM BUNGA DI SEOUL

Pada tahun 2003, Drama korea Winter Sonata adalah drama paling popular di kaca tv Malaysia yang disiarkan oleh NTV 7. Walaupun mendapati bahasa korea itu pelik dan kasar, kami mendapati lokasi penggambaran drama tersebut sangatlah memberi inspirasi. Bagaimana kami boleh terjebak menonton drama ini? Sebenarnya pada masa itu isteri baru sahaja melahirkan anak pertama kami. Pada tahun 2003, anak sulung ini berumur 2-3 tahun. Maka banyak masa diluangkan di rumah dan drama Winter Sonata ini sangat popular pada masa itu. Setelah menonton drama tersebut, saya dan isteri menyimpan keinginan untuk melawat negara tersebut.

Pada bulan Mei 2011, saya dan keluarga berpeluang untuk mengembara ke Seoul, Korea Selatan. Pada masa itu, saya telah mengambil peluang daripada tambang super murah yang ditawarkan oleh AirAsia. Perjalanan menaiki kapal terbang Airbus A330 mengambil masa 6 jam untuk sampai di Incheon, Lapangan Terbang Antarabangsa Seoul. Matawang Korea Selatan adalah won. Nilai won ini pada masa itu, RM30 bersamaan dengan 10,000 won. Secara umunya boleh dikatakan bahawa kos sara hidup di Seoul ini agak tinggi. Kalau kita nak melawat Korea Selatan, visa tidak diperlukan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, Korea Selatan


Orang Korea yang peramah Park Sang Jin, telah belanja kami makan di Restoran Sanuki Bore


Setibanya kami di Airport, saya telah membeli kad T-money, iaitu kad yang diterima untuk kebanyakan pengangkutan di Korea Selatan. Kad tersebut perlu ditambah nilai supaya boleh digunakan. Untuk tujuan lawatan ini, saya telah menambah nilai sebanyak 10,000 won bagi setiap kad T-Money untuk semua ahli keluarga.

Kami menaiki LRT di korea dan lapangan terbang hingga ke hentian kami, Euljiro 3 tanpa sebarang masalah. dari stesen Euljiro kami berjalan dalam 3 blok untuk sampai ke penginapan kami iaitu Hyundai Residence. Sampai di hotel pun sudah lewat kerana kami tersesat. Mujur ada pelancong dari Jepun yang prihatin dan memantu kami mencari hotel.

Mujur ada pelancong Jepun membantu kami

Bergambar kenangan di rooftop hotel walaupun keletihan



Hari Kedua

Keesokan harinya, kami bergabung dengan ahli rombongan yang lain untuk bersiar-siar di sekitar Bandaraya Seoul. Pada masa ini, Seoul City Hall sedang dibaikpulih dan dipertingkatkan. Kalau anda melawat Seoul City Hall pada masa ini, sudah pasti keadaannya lebih cantik dan berbaloi untuk dilawati terutamanya pada waktu malam.

Di hadapan Hyundai Residence


Menyaksikan upacara pertukaran pengawal istana


Pemandangan di kotaraya Seoul

Mencuba pakaian Hanbok di hadapan patung Raja Sejong

Hari kedua kami berjalan-jalan di sekitar bandaraya Seoul untuk melihat tarikan-tarikan yang tersenarai dalam senarai yang saya buat sebelum lawatan ini. Saya sempat melihat beberapa istana korea zaman dahulu di zaman Chuseon. Kami juga melawat Ceongyechea Stream, satu tarikan di mana anak sungai yang mengalir di tengah-tengah bandar yang bersih dan sungguh menarik. Saya juga sempat berjalan di dataran seoul bergambar dengan pakaian Hanbok serta bergambar di hadapan patung Maharaja Sejong.

Di dataran inilah terletaknya bagunan penting seperti Mahkamah 
di sebelah kiri dan kedutaan USA di sebelah kanan.

Hari pertama diakhiri dengan keletihan kerana kami telah berjalan beribu-ribu langkah menerokai Bandaraya Seoul. Saya dan isteri bukan jenis yang suka mencuba makanan tempatan, maka kami tidak melawat tempat-tempat makan streetfood di sini. Namun, kalau kita berkesempatan melawat Seoul pada tahun 2018, makin banyak restoran makanan halal dibuka di Seoul untuk memenuhi permintaan daripada pelancong yang mahukan makanan halal. 


Hari Ketiga

Hari ini adalah hari Jumaat, saya dan keluarga pergi ke Restoran keluarga seorang bintang K POP. Lawatan ini bukanlah dalam senarai saya, tetapi demi menyampaikan hasrat anak saudara yang sangat minat dengan seorang bintang K POP bernama Yang Yoseob, maka kami pun pergilah ke kedai keluarga tersebut. Bila dan sampai di restoran tersebut, kami dapat berjumpa ayah dan ibu kepada superstar tersebut. Walaupun dia tidak boleh berbahasa Inggeris, tetapi rasanya ibu kepada superstar ini layan ajelah kami-kami ni.

Di Restoran milik keluarga Yang Yoseob

Selepas itu kami bergegas ke Itaewon, sebuah kejiranan yang ada komuniti Islam. Saya tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Seoul. Khutbah Jumaatnya dibacakan di dalam Bahasa Inggeris. Sementara itu, isteri dan ahli rombongan wanita menjamu selera di restoran india di sebelah masjid tersebut. Sungguh bersyukur apabila dapat makan nasi di negara yang asing ini.


Pusat Islam Seoul, Itaewon

Sedap betul makan daging, nasi dan kari setelah 3 hari tak jumpa nasi di Korea

Banyak restoran antarabangsa dan halal di kawasan Itaewon ini

Pada waktu malam, kami melawat N Seoul Tower untuk meninjau tarikan yang boleh dilihat disitu. Di N Seoul Tower kita dapat melihat pemandangan bandaraya Seoul, Teddy Bear Museum dan beberapa tarikan lagi. Di anjung tinjau menara ini, selain daripada menikmati pemandangan, kita dapat beberapa tarikan mini yang mungkin boleh menggamit pelancong datang.  Ada cafe, pejabat pos, ada teropong untuk meneropong bandaraya Seoul, ada gerai jualan cenderahati, ada tayangan illusi optik dan sebagainya. Saya memasang angan-angan juga nak minum kopi di cafe nya seperti di dalam babak drama Boys Over Flowers. Tetapi apakan daya, sebagai perbandingan, kalau kita berada di Menara KL, kemudian kita minum kopi di kedai @mosphere, anda rasa? Mahal tu. Kemudian kepada sesiapa yang berminat nak menyelami sejarah teddy bear, bolehla melawat Teddy Bear Muzeum. Terdapat banyak info dan sejarah mengenai patung beruang untuk kita baca dan ketahui.

N Seoul Tower : Lokasi penggambaran drama Boys Over Flowers

Teddy Bear Museum di N. Seoul Tower

Hiasan pokok yang dipenuhi oleh padlocks (mangga) yang biasa dibuat oleh 
pasangan bercinta dan simbolik kepada ikatan cinta yang kukuh


Hari Keempat


Pulau Nami (Namiseom) kami datang


Untuk ke Pulau Nami, kami meninggalkan hotel awal pagi menuju ke stesen bas yang berhampiran. Kami menaiki bas menuju ke Gapyeong. Perjalanan menaiki bas agak menghiburkan kerana pengalaman bersama masyarakat tempatan. Di dalam perjalanan 3-4 jam ini, saya disajikan dengan pemandangan yang cantik dan beberapa pekan kecil di tepi sungai yang lebar. Airnya kadang-kadang cetek kerana kita dapat melihat orang tempatan bersama-sama menangkap ikan sungai beramai-ramai. Apabila sampai di Gapyeong, kami menaiki teksi pula untuk ke Jeti Pulau Nami.

Menaiki bas ke Gapyeong sebelum ke Pulau Nami

Feri ke Pulau Nami

Melawat Pulau Nami, destinasi yang menjadi popular selepas terbitnya drama Winter Sonata 

Disinilah tempat bergambar popular kalau melawat Pulau Nami

Bergambar di depan patung  Chun Sang dan Yoo Jin

Bergambar di galeri Winter Sonata


Pulau Nami ini biasanya menjadi tumpuan pelancong dari seluruh seluruh dunia. Berdasarkan info yang dibekalkan kepada saya, Pulau Nami ini menjadi terkenal di seluruh dunia melalui drama Winter Sonata. Drama itu sendiri menjana pendapatan Berbillion-billion Won kepada Negara Korea Selatan. Negara Korea berterima kasih kepada produksi drama Winter Sonata ini kerana ianya telah membawa pelancong dari segenap pelusuk dunia sehingga ke hari ini. Sungguh menakjubkan pencapaian tersebut. Kami menghabiskan 3-4 jam di pulau tersebut dengan menyewa basikal, kemudian mengambil gambar bersama patung, gambar-gambar dan lokasi penggambaran drama ini. Saya yakin, sekiranya drama kita mampu memberikan impak kepada citarasa antarabangsa, sudah pasti ianya mampu menjadi tarikan pelancong untuk melawat negara kita. Apabila pulang ke Seoul, kami memilih untuk menaiki keretapi dan perjalanan hanya mengambil masa 1 jam sahaja. (tip : jangan sekali-kali naik bas ke Gapyeong kerana anda akan membuang masa di dalam perjalanan. Naiklah keretapi Korail untuk perjalanan yang lancar dan pantas). Malam tersebut kami pulang ke hotel dengan perasaan puas walaupun keletihan.

Di dalam LRT Gapyeong ke Bandaraya Seoul, luas dan selesa

Di pasar berhampiran hotel kami

Bergambar bersama rakyat tempatan di Seoul City Hall


Hari Kelima

Oleh kerana masa kami suntuk dan tidak sempat untuk melawat Everland Theme Park. Kami membuat keputusan untuk melawat Lotte World iaitu taman tema yang letaknya di bandaraya Seoul. Perjalanan ke taman temua tersebut menggunakan LRT dan turun di stesen Jamsil. Dari situ saya masuk ke Lotte Mall. Lotte world ini letaknya di dalam dan luar Lotte Mall. Tiket masuk ke taman tema ini boleh tahan mahalnya, seumpama kita mahu masuk ke Legoland di Johor. Kalau kita memilih indoor park, kita boleh menaiki bermacam-macam ride termasuk roller coaster, ferris wheel, ice skating dan lain-lain lagi. Di dalam indoor theme park ini juga ada sebuah pentas yang besar di mana mereka membuat persembahan untuk pengunjung taman tema ini. Manakala outdoor theme park pula disediakan rides yang lebih mencabar, lebih pantas dan lebih merbahaya. Anak-anak lah yang paling gembira bila mereka boleh menaiki semua permainan yang disediakan.

Di Lotte World, ini adalah lokasi penggambaran drama 
"Stairways To Heaven" lakonan Choi Jin Woo dan Kwong Sang Woo

Castle di dalam Lotte World


Lotte world outdoor park

Maghrib terakhir dari  Stesen Jamsil menuju ke Euljiro No 3 dan seterusnya ke Incheon

Pelajaran No 1 : Terkejar-kejar ke Lapangan Terbang 


Sejujurnya perjalanan ke Euljiro No 3 mengambil masa lebih kurang 30 minit. Dari stesen tersebut kami bergegas ke hotel penginapan untuk mengambil beg-beg kami. urusan mengambil beg sahaja mengambil masa 30 minit. Justeru itu, kami ada satu jam sahaja untuk sampai di lapangan terbang Incheon. Saya menjadi panik kerana penerbangan tersebut dijadualkan pada jam 9:30 malam. Kami bergerak dari hotel pada jam 7:30 malam. Dari keretapi Euljiro No 3 ke Lapangan terbang pula bukanlah seperti yang diharapkan kerana di salah satu stesen itu, keretapi tersebut berhenti kerana sudah sampai dihujung perjalanannya. Saya semakin panik kerana terpaksa menunggu satu lagi keretapi daripada line yang lain. Peluh jantan mula keluar dari dahi saya. Terbayang yang kami akan ketinggalan flight dan terbayang yang saya terpaksa merempat atau menjual surat khabar untuk membeli tiket balik ke Malaysia. 

Muka orang panik takut tertinggal flight

7 Minit kemudian, keretapi terakhir tiba untuk membawa kami sekeluarga ke Lapangan terbang Incheon. Kami sampai di Incheon, saya dan keluarga berlari-lari mencari kaunter Airasia. Setibanya kami di kaunter, masa penerbangan adalah kurang daripada 45 minit sebelum masa penerbangan. Walaupun notis "counter closed" sudah di keluarkan, mujurlah kaunter masih lagi menerima kami. Namun demikian, kami perlu bawa luggage bersama kami sebab pegawai kaunter tidak boleh check in semua luggage kami. Maka bermulalah episod berlari-lari ke terminal yang sepatutnya. Mula-mula melepasi imigresen, kemudian menaiki keretapi ke terminal satelit untuk penerbangan antarabangsa, kemudian berlari ke terminal AirAsia. Syukur jugalah kami sampai di depan kapal terbang 10 minit sebelum ianya berlepas. Kami sempat minum air dari water cooler, mengambil gambar kenangan dan terus masuk ke dalam kapal terbang. Di dalam kapal terbang mulut saya masih lagi mengucapkan syukur kerana selamat naik kapal terbang. Kami sampai di Malaysia jam 5:30 pagi keesokan harinya.

Pengajaran daripada peristiwa ini, saya mencadangkan agar kita mengambil serius tentang penerbangan antarabangsa ini. Sekurang-kurangnya 4 jam sebelum penerbangan mestilah sudah berada di kaunter check in.

Pengembaraan kami adalah semasa musim bunga, sebab itu, kita tidak melawat tanah tinggi untuk bermain salji seperti di Vivaldi Park atau Chuncheon. Cukuplah kami menikmati udara yang segar dan juga bunga-bungaan yang berkembang pada musim tersebut.

Untuk trip ini, saya telah berbelanja

Tiket penerbangan      RM1,200 (tiket super murah AA)
Penginapan                 RM800 (sharing dengan adik beradik)
Transport dan makan  RM2,500
Lain-lain                     RM1,000 (termasuk tiket masuk Lotte World dan Pulau Nami)
Jumlah                        RM5,500 untuk sekeluarga  ~ RM1,100 seorang

Saya rasa sangat bersyukur kerana pengalaman melawat Seoul ini sukar untuk dilupakan

MENDAKI GUNUNG KINABALU 2.0

Pada 5 November 2010, saya dan isteri telah berpeluang mendaki Gunung Kinabalu iaitu Gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Saya sebenarnya tidak minat outdoor sangat, tetapi Gunung Kinabalu ini menyediakan pengalaman mendaki yang sempoi, makan sedap, tidur di tempat yang selesa, jadi saya setuju dengan aktiviti tersebut.

Untuk mendaki Gunung Kinabalu, terdapat 3 trek laluan yang digunakan oleh pendaki. Yang pertama adalah melalui Timpohon Gate iaitu yang paling pendek jaraknya. Yang kedua adalah melalui Mesilau iaitu yang paling jauh jaraknya dan yang ketiga adalah melalui Ferrata, iaitu yang menggunakan tali dan peralatan naum yang paling mahal. Pendakian kali ini adalah melalui Mesilau. Apabila mendaki melalui Mesilau, keseluruhan perjalanan bertambah 3 km daripada jarak perjalanan biasa.

Sebelum kami mendaki, kami bermalam dahulu di Mesilau Lodge di mana kami disajikan dengan makanan steamboat. Makanan ini menjadi sangat sedap kerana keadaan cuaca sejuk di tempat penginapan tersebut dengan kabus yang tebal betul-betul memberi makna sedapnya makanan panas untuk dinikmati di sini. Keesokan harinya, kami menikmati sarapan pagi secara buffet yang disediakan oleh chef resort tersebut.

Setelah itu, kami mendengar taklimat keselamatan dan diperkenalkan dengan malim gunung yang akan menjaga kami. Peranan malim gunung ini bukanlah sebagai pembantu kalau sekiranya kita keletihan, peranan mereka adalah memastikan kita mampu mendaki mengikut 'pace' kita. Kalau kita keletihan, maka malim gunung akan turut menunggu kita. Kecuali sekiranya berlaku kecemasan barulah malim gunung ini akan bertindak melaksanakan proses yang sewajarnya.

Maka kami pun mendaki lah dengan tekun dan sabar. Pendakian sebenarnya tidak lah sukar, namun yang menjadi kekangan adalah mental dan fizikal kita sendiri. berdasarkan pengalaman saya, kalau kita melangkah demi langkah tanpa berehat terlalu lama, inshAllah kita tetap akan sampai di destinasi yang dituju iaitu puncak Gunung Kinabalu.


Pendakian

Lebih kurang jam 4:00 petang, kami mula sampai di Laban Rata, iaitu tempat penginapan kami sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Kinabalu. Di sini kita diminta makan malam dan tidur sehingga jam 2:00 pagi.  

Pit stop di Laban Rata

Pada jam 2:00 pagi kami mengambil sarapan yang disediakan oleh resort. Selepas itu pada jam 2:30 pagi kami memulakan pendakian ke puncak gunung tersebut. Sebaik melepasi Laban Rata, kami mula menempuhi pendakian 60 darjah ke atas. Di bahagian yang sukar, tali untuk kami berpaut disediakan oleh pihak taman negara ini. Ada di beberapa tempat itu, pendakian yang kami mesti tempuhi sehingga 80 darjah. Setelah mendaki sejauh 1 km, kami sampai di Sayat-sayat. Di sinilah penentuan samada kami dapat meneruskan pendakian ke puncak atau tidak. Pihak taman negara mempunyai check point untuk membuat bancian kepada bilangan pendaki yang berjaya melepasinya. Pada masa ini, kepada pendaki yang mempunyai masalah pernafasan seperti semput biasanya akan mengalami masalah untuk meneruskan perjalanan. Selepas hentian Sayat-sayat ini, permukaan pendakian adalah batu sepenuhnya dan pendakian di dalam 30-40 darjah.
Sebelum tiba di puncak Kinabalu bersama isteri tercinta dan Ust Asri Wahab

Setelah berusaha dengan gigih, pada 7 November 2010 jam 6:00 pagi, saya berjaya sampai di Low's Peak iaitu puncak Kinabalu. Apabila sampai di puncak ini, perasaan gembira dan bangga kepada kemampuan diri sendiri. Siapa yang sangka orang 'mandom' macam saya ni mampu menjejakkan kaki di Puncak Kinabalu. Syukur yang teramat sangat.  Cuaca di puncak ini lebih sejuk berbanding lokasi lain di Kinabalu Park ini. 

Di puncak Gunung Kinabalu

Di puncak Gunung Kinabalu bersama isteri tercinta

Keindahan pemandangan di Puncak Kinabalu adalah tidak terbanding. Bayangkan kita berada di atas awan dan kita menerima matahari terbit 30 minit lebih awal daripada orang lain. Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

JAKARTA DAN BANDUNG BERSAMA KELUARGA KAK ZAI

Pengembaraan ke Jakarta ini saya rancang dalam masa yang lama kerana kami membeli tiket penerbangan lebih daripada 6 bulan daripada tarikh penerbangan. Harga tiket yang kami perolehi tidak akan dapat terbanding tahap murahnya. Saya sekeluarga dan jiran turut serta di dalam rombongan ini. Kesemua ahli rombongan adalah seramai 19 orang.

Untuk lawatan ini, kami tidak menggunakan passport sebaliknya kami menggunakan pas lawatan secara kumpulan. sepanjang lawatan ini, kami menggunakan perkhidmatan pelancongan Pak Dede yang memberikan kadar yang sangat murah pada waktu itu. Di Jakarta kami menginap di Hotel Novotel Mangga Dua. Kadar yang ditetapkan amatlah berpatutan pada masa itu. Tujuan kami menempah hotel ini adalah kerana kedudukannya berhampiran dengan Pusat pelancongan Ancol, Waterworld dan juga berhampiran dengan pusat membeli belah Mangga Dua. 

Ketibaan di Lapangan Terbang Soekarna Hatta Jakarta

Menginap di hotel yang sama dengan Tan Sri Rafidah Aziz

Makan tengahari di Restoran Nasi Padang. 650 Ribu Rupiah

Kami bersiar-siar di kawasan yang menarik di Jakarta. Ianya adalah sebuah kotaraya yang sangat besar. Lebih kurang 13 Juta orang penduduk tinggal di bandaraya ini. Di antara lokasi yang menjadi lokasi lawatan adalah Taman tema Ancoll, Underwaterworld dan kawasan Tugu Monas.

Di Dataran Tugu Monas

Mandi Manda di Swimming Pool Hotel Mangga Dua

Sebelum meninggalkan Jakarta

Setelah menginap selama 2 malam, kami kemudiannya menuju ke Bandung, iaitu sebuah bandar di tanah tinggi dengan udara yang nyaman. Perjalanan ke Bandung agak unik kerana kami melalui kampung-kampung dan ladang teh. Di Bandung kami menginap di Hotel Cherry, salah sebuah hotel bajet di Kota Bandung. Semasa di Bandung, kami melawat Tangkuban Parahu iaitu sebuah kawah gunung berapi hidup sebagai tarikan kepada pelancong.



Naik kuda

Di Tangkuban Parahu

Di hadapan Gunung berapi aktif

Selain daripada itu, kami berkesempatan untuk membeli-beli di Pasar Baru. Di sini kami mendapati banyak barangan dijual dengan harga yang sangat murah. Sebagai contoh, kita boleh menempah sepasang kot dengan harga RM260 sahaja. Tempoh 4 jam yang diberikan oleh pemandu pelancong adalah tidak mencukupi untuk kami. Selepas membeli-belah, kami terus bergerak ke Jakarta. Sebenarnya lawatan ke Bandung ini adalah sangat ringkas sahaja sebab kalau nak diikutkan ada banyak lagi tempat menarik yang belum kami lawati. Ahli-ahli rombongan juga merugut sebab masih belum puas untuk membeli-belah di Bandung ini.


Bergaya dengan pakaian yang dibeli di Bandung dan Jakarta


JAKARTA BERSAMA EN SHAIFUL

Pergi ke Jakarta atas urusan kerja bersama En Shaiful. Misi kami adalah untuk melawat beberapa sekolah menengah di Jakarta. Perjalanan kali ini kami menggunakan Malaysia Airlines. Pesawat Airbus 330 adalah sebuah pesawat yang besar dan selesa untuk perjalanan kali ini. Indonesia adalah 1 jam lebih lewat daripada negara ini. Sebaik tiba di Jakarta, kami bergerak ke tempat penginapan kami iaitu Hotel Alia at Cikini. Cikini ini letaknya di Pusat Bandar Jakarta. Tarikan utama kota Jakarta iaitu Tugu Monas letaknya hampir dengan hotel kami.

SMK 57


Destinasi saya yang pertama adalah Sekolah Menengah Kejuruan 57 di Wilayah Utara Jakarta. Ini adalah sebuah sekolah yang khusus melatih pelajar di dalam bidang Pelancongan dan Perhotelan. Pelajar-pelajar ini sudah mula bersekolah seawal jam 5:00 pagi dan akan tamat pada jam 4:30 petang. tempoh latihan yang panjang memberikan mereka masa untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Kehadiran kami disambut oleh Ibu Sylma. Kami kemudian dibawa berjumpa dengan Bapak Direktur sekolah berkenaan. Selepas itu kami dapat meluangkan masa selama 2 jam untuk memberi taklimat kepada pelajar tahun akhir sekolah tersebut. Sekolah ini mempunyai kemudahan yang lengkap untuk melatih pelajar menjadi tenaga kerja di hotel.

Bersama pengetua sekolah

Bersama pelajar yang mendengar taklimat

SMK 37

Keesokan harinya saya dapat melawat sebuah sekolah lagi iaitu SMK 37. Sekolah ini melatih pelajar di dalam bidang hospitaliti dan jahitan. Sekolah ini telah membuat kejutan dengan membuat sambutan secara rasmi dengan pelajar menggunakan iringan gendang dan alat-alat muzik. Kemudian kehadiran kami disambut oleh tarian tradisional Indonesia. Saya berasa sangat terharu dengan tahap layanan yang diberikan ini.

Tarian tradisional

Cenderahati daripada Pengetua


Akademi Pariwisata

Hari ketiga kami dapat meluangkan masa melawat sekolah swasta yang dinamakan Akademi Pariwisata. Kali ini kami melawat sebuah sekolah swasta di dalam bidang pelancongan. Pada kali ini, kami dapat memberi taklimat kepada 60 orang pelajar senior mengenai peluang menyambung pelajaran di IHYPJ.

Sebahagian daripada pelajar yang mendengar taklimat

Bersama dengan pemimpin sekolah



MELAWAT KAMPUNG DI PONOROGO, JAWA TIMUR

2006 saya dan isteri telah meluangkan masa melawat beberapa bandar di Pulau Jawa. Kami bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Surabaya. Kami menggunakan penerbangan Airasia melalui Low Cost Carrier Terminal KLIA. Pada masa itu terminalnya simple sahaja berbanding dengan kemajuan yang dicapai oleh Airasia sehingga terbinanya KLIA2. 

Penerbangan dari LCCT ke Surabaya mengambil masa 2 jam 30 minit. Setibanya kami di Surabaya, sudah ada supir yang sedang menanti kami. Kami terus menaiki transport yang disediakan. Kemudian perjalanan darat kami bermula dari asalnya gembira dan teruja, menjadi letih dan lesu kerana drivernya sangatla sopan santun dan setiap kali ada kenderaan di hadapan dia akan bunyikan hon. Sebab yang kedua adalah perjalanan dari Surabaya ke Ponorogo mengambil masa 5 jam.

Malam itu, kami singgah di beberapa bandar antaranya Madiun, Ponorogo dan akhirnya sampaila kami di Gandu, Mlarak tempat asal keluarga saya sebelah arwah ayah. Kepada yang berhasrat nak melawat Indonesia, saya sarankan meminum air yang dibotolkan untuk mengelakkan risiko penyakit bawaan air seperti sakit perut, cirit birit dan muntah.

Bertemu dengan Pak Cik dan Mak Cik yang masih hidup merupakan pengalaman yang sangat indah. Apabila melihat beliau, terus saya ingat kepada arwah ayah saya yang meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun 2000. Beberapa tahun kemudian, Pak Cik saya yang ini juga meninggal dunia.


Saya amat bersyukur kerana dapat bertemu dengan Pak Cik Hashim, beliau adalah anak bongsu daripada keluarga arwah ayah saya. Isteri beliau, Ibu Bandiah juga menerima kehadiran kami dengan pure Indonesian hospitality. Perjumpaan pada malam tersebut lebih berkisar kepada bertanya khabar dan cuba mengenali saudara dari kedua-dua negara.

Menghadiri Majlis Perkahwinan Anak Saudara


Peluang yang kami perolehi semasa melawat kampung ini adalah menghadiri majlis persandingan anak saudara kami dari sebelah Indonesia. Majlis ini dilangsungkan dengan penuh tradisi tempatan. Tetamu perlu berada di dalam majlis dalam tempoh dua jam di kerusi masing-masing. Sebagai seorang dari luar, pakaian saya juga melambangkan saya bukan dari kalangan orang tempatan. Adalah amat tidak sesuai dengan majlis perkahwinan mengikut adat Jawa Timur. Kemudian, satu perkara yang saya tidak boleh tahan adalah kerana kita perlu duduk selama 2 jam untuk menonton upacara persandingan kedua mempelai. Itu adalah pengalaman yang manis tetapi mencabar kesabaran saya. Saya mengambil keputusan untuk berada di barisan belakang sahaja supaya tidak mencacatkan majlis tersebut.

Arwah Pak Cik saya adalah datuk kepada pengantin. 

Bersama penyambut tetamu di pintu masuk utama

Pengantin tiba dengan menaiki beca

Pengantin berarak ke pelamin

Pelamin pengantin

Setelah tamat majlis tersebut, kami telah melawat beberapa institusi pendidikan yang diusahakan oleh saudara kami. Semasa lawatan tersebut, dapat jugalah kami memberi taklimat serba sedikit tentang peluang menyambung pelajaran di KPYPJ.

Taklimat disampaikan oleh Hj Abd Razak

Lawatan ke Pesantren Milik Imam Bajuri

Salam perpisahan dengan Imam Bajuri

Setelah tamat melawat beberapa sekolah di Ponorogo, kami telah meluangkan masa di Bandaraya Surabaya untuk satu malam. Semasa di Surabaya, kami telah melawat beberapa kawasan menarik yang menjadi tumpuan pelancong seperti pasar, pusara Wali Songo, SuperMall dan lain-lain.

TAHUN 2000 MENDIRIKAN RUMAHTANGGA

Pada tahun 4 Ogos 2000 saya sah menjadi suami kepada Cik Jamaliah Yacob. Mula berkenalan dengan beliau pada tahun 1999. Masa itu sama office. Genap satu tahun perkenalan, saya telah melamar beliau untuk menjadi isteri saya. Maka kami pun diijabkabulkan di Surau Jalan Sawi, Yap Tau Sah, Kluang. Agak seronok juga sebab pasangan saya juga adalah spesies kaki jalan. Kami mengambil peluang selagi ada untuk mengembara. Dia lah yang mengajar saya mendaki Gunung Kinabalu. Setelah mencuba dua kali, dapat juga saya sampai di puncak Kinabalu pada tahun 2010.

Cahaya Mata Kami Nurul Huda Farhanah, Muhammad Lutfil Hadi dan Nurul Hidayah Syuhadah



Monday, June 19, 2017

JUN 1997, GRADUATE DAN KEPULANGAN YANG TIDAK DISANGKAKAN

Alhamdulillah, setelah 3 tahun berusaha, dapatla juga saya menamatkan pelajaran di dalam bidang ini. Majlis konvo diadakan di Milwaukee Exhibition and Conference Arena (MECCA). Oleh kerana nama saya selalu disalah sebut oleh orang-orang Amerika ini, pada hari tersebut saya telah menulis nama saya dengan kaedah phonetics supaya bila dibaca, nama penuh saya yang akan di sebut. Syukur sebab nama saya disebut dengan betul. Saya gembira, penaja gembira, keluarga... keluarga tak tahu yang saya sudah graduate.... hehe

Suasana Majlis Konvokesyen UWM 


Bersama rakan-rakan yang turut hadir Afnizam, Bazalanulazam, Fadzil, Amir dan Zakir

Turut hadir arwah Mohazlan dan nama-nama seperti di atas

Tak lama selepas graduasi, saya pun pulang ke tanah air. Kali ini saya dapat merasa naik kapal terbang twin otter dari Milwaukee ke Chicago. Di Chicago pula saya terpaksa berlari untuk mendapatkan penerbangan seterusnya ke Los Angeles Seterusnya dalam 3-4 Jam kemudian, penerbangan Malaysian Airline ke Kuala Lumpur.

Saya telah memberitahu Abang sulung saya untuk menjemput saya di LTAS tanpa memberitahu keluarga saya. Apabila telah sampai di LTAS, kami pun terus pulang ke Kampung Ijok. Semasa ketibaan, arwah ibu saya sedang menyapu daun-daun pokok rambutan yang bertaburan di laman rumah. Saya terus melompat keluar dari kereta dan salam serta mencium tangan ibu saya. Ibu saya mengambil masa yang agak lama untuk mengetahui bahawa saya sudah balik ke kampung halaman. Setelah beberapa ketika barulah beliau sedar dan boleh menerima kenyataan. Beliau berkata, sebab saya sudah berubah, semakin tinggi dan semakin berkulit cerah, sebab itu dia tidak menyangka itu adalah saya sama sekali. Beliau bagaimanapun bersyukur kerana saya sudah selamat pergi dan pulang.

Tahun 1997 adalah masa di mana ekonomi negara kita berada di dalam keadaan gawat. Kebanyakan pernigaan telah terjejas dengan teruknya. Ramai di kalangan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan di masa itu. Saya juga menerima tempias daripada kegawatan ekonomi itu. Pada masa ini perkataan Borgois Komprodo dan George Soros menjadi terkenal kerana disebut-sebut di dalam media negara ini.  Setelah tamat belajar, saya sempat berkhidmat di sebuah syarikat saham komoditi selama 3 bulan di Kuala Selangor. Bekerja di syarikat ini memang membuka mata saya di mana untuk mendapatkan pendapatan bukan senang.

Pada 20 Disember 1997, saya memulakan perkhidmatan di Kumpulan Pendidikan YPJ. KPYPJ adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Kerajaan Johor untuk memberikan pendidikan dan kemahiran kepada rakyat Johor. Sebaik sahaja saya melapor diri, saya dapat pergi ke Pusat Membina Semangat Mersing untuk berkursus selama 3 hari. Saya sangat menghargai syarikat kerana memilih saya untuk turut serta di dalam program tersebut. Itu adalah kenangan manis saya sebagai antara yang terawal menyertai Syarikat ini.

Kenangan selepas menaiki kayak di Pusat Membina Semangat Mersing. 
Mereka ini adalah pekerja ke 50 terawal yang bekerja dengan KPYPJ. Ada yang sudah meninggalkan kita 

HARI RAYA DI MILWAUKEE

Berdasarkan kepada rekod, saya merayakan Hari Raya Aidilfitri sebanyak 3 kali di USA. Kepada yang merantau, lagu Hari Raya yang paling menusuk kalbu adalah lagu "Dari Jauh Ku Pohon Ampun Maaf" Nyanyian Allayarham Sudirman. Kalau pasang lagu ni, confirm student-student perempuan mengalir air mata. Orang-orang di Amerika kalau hari raya mereka akan mengucapkan Eid Mubarak kepada orang lain sepertimana  kita ucapkan selamat hari raya kepada orang lain di Malaysia.

Oleh kerana ini adalah negara bukan Islam, makanya Hari Raya bukanlah hari cuti. Justeru itu, biasanya saya akan skip kelas untuk menghadiri solat sunat Aidilfitri dilokasi yang berbeza setiap tahun. Yang pertama, sembahyang hari raya diadakan di sebuah stadium tertutup. Yang kedua saya bersolat di sebuah masjid yang dipengaruhi oleh masyarakat Arab. Tahun berkenaan saya beraya satu hari lebih awal daripada di Malaysia. Tahun ketiga, saya beraya di Islamic Center of Greater Milwaukee di mana Br Isa adalah salah seorang yang memegang jawatan di situ. Solat bersama masyarakat Islam di Milwaukee adalah sangat menyeronokkan di mana kita akan melihat pelbagai bangsa sama-sama berkumpul dan menunaikan ibadah. Ini merupakan pengalaman yang manis dan sukar untuk dilupakan.

Selepas bersolat sunat, kami akan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah untuk menyemarakkan sambutan Aidilfitiri. Kami biasanya beruntung sebab di Milwaukee ini, ada ramai pelajar perempuan dan yang sudah berkeluarga. Jadi kami buat lah lawatan dari rumah ke rumah ala-ala marhaban gitu. Kalau zaman saya dulu kami akan beraya di rumah Abang Kassim, Geng2 Jun, Geng2 Kak Lin, Abang Shahril, Geng2 Zuren dan lain-lain lagilah. Kami bujang, jadi tak adalah buat open house raya.

Bergambar kenangan sempena Hari Raya Aidilfitri

berhari raya di rumah rakan-rakan. Ini rumah Abang Kassim (PM Datuk Dr Hj Kassim B Mansur)