Friday, January 26, 2018

TRIP MUSIM SEJUK OSAKA, JEPUN

HARI PERTAMA

Saya sangat teruja dan gembira nak pergi Jepun bersama isteri tersayang. Ini adalah kali pertama dalam hidup kami melawat negara matahari terbit. Anak saudara kami Awin dan suaminya Ajak juga menyertai trip ini.  Kami menggunakan maklumat daripada rakan-rakan yang pernah pergi dan kisah-kisah travelog sebagai panduan di sepanjang trip ini. Misi utama trip ini adalah untuk mengalami atau bermain salji.

Seawal pukul 5:00 pagi lagi, kami telah mendaftar masuk di kaunter KLIA 2. Selepas check-in kami masuk ke terminal untuk penerbangan ke Kansai International Airport(KIX). Penerbangan selama 6 jam 50 minit menggunakan pesawat Airbus A330-300 adalah lancar dan sangat selesa. Kami telah beli tiket ke Osaka ini 6 bulan lebih awal sebelum penerbangan untuk mendapatkan tiket murah.

Balai berlepas KLIA2

Kami telah tiba di lapangan terbang antarabangasa Kansai tepat jam 3:20 petang. Urusan imigresen sangat pantas dan lancar. Cuaca sejuk di airport tersebut dengan suhu 9 darjah sudah mula membangkitkan kegembiraan kepada kami. Waktu di Osaka adalah satu jam lebih awal berbanding dengan waktu di Malaysia. Pada musim dingin pula, waktu malamnya lebih awal iaitu pukul 5:10 petang atau bersamaan pukul 4:10 petang di negara kita. Pada waktu itu, waktu maghrib hampir tiba, jadi kami telah berjumpa dengan staff lapangan terbang tersebut untuk pergi ke surau. Kami amat bersyukur kerana disediakan sebuah surau yang indah kepada pengembara muslim macam kami.

Muka-muka ceria sebaik tiba di Kansai International Airport(KIX)

Arah kiblat seperti yang diletak di siling surau lapangan terbang KIX

Selepas itu, kami membeli kad ICOCA dengan nilai topup 5000 yen untuk perjalanan ke tempat kami bermalam. Kad ICOCA ini boleh digunakan di majoriti kemudahan pengangkutan awam di sini. Kami menaiki keretapi JR line selama 60 minit sebelum sampai ke stesen subway Bentencho untuk perjalanan seterusnya ke perhentian kami iaitu Osakako. Dari stesen Osakako kami berjalan sejauh 300 meter untuk sampai di penginapan kami iaitu Universal Bay Condominium.

Membeli kad ICOC dan menambah nilai sebanyak ¥5000 


Setelah berehat seketika, kami keluar semula untuk pergi ke 7 Eleven untuk membeli bahan makanan yang boleh dibeli. Kami membeli beras, roti, telur dan minyak masak. Beras di sini dijual dengan harga RM19 sekilo. Manakala bagi roti pula, ada dua jenis roti buku yang dijual di sini, samada dipotong 4 atau 6. Potong 4 maknanya lebih tebal daripada potong 6. Walaupun setiap buku roti itu tak banyak mana, ianya berharga RM23 sebuku. Minyak masak pula berharga RM36 satu liter. Boleh tahan juga kan harganya.

Apartment kami

Sebelum tidur, jangan lupa tetapkan mesin penghawa dingin kepada suhu yang sesuai dengan kita. Oleh kerana semasa ini musim, sejuk pastikan kita tetapkan suhu 29-30 darjah celcius. Kalau tidak besok pagi beratla nak keluar dari selimut sebab sejukkk..

HARI KEDUA

Bangun pagi, kami bersarapan makanan segera yang dibawa dari negara kita. Menu sarapan kami pagi ini adalah nasi goreng, telur dadar, kari ayam dalam tin Adabi dan sambal bilis adabi. Alhamdulillah, bila makan masa winter, semuanya sedap belaka.

Sarapan 'heavy' sebab nak jalan kaki hari ni

Sebelum memulakan pengembaraan, bergambar di depan apartment

Kemudian, kami berjalan di kawasan kejiranan Kaiyu dan mendapati ada beberapa lokasi yang menarik untuk dilawati. Wi-fi disediakan di sepanjang jalan Kaiyu ini. Tarikan yang ada di sini adalah Tempozan Ferris Wheel, Lego Discovery Center, Kaiyukan Aquarium dan beberapa taman awam di situ. Kalau ada masa, ketiga-tiga tarikan ini boleh dilawati dengan pakej istimewa bermula dengan 3,000 yen. Kaiyukan Aquarium ini adalah antara akuarium terbesar di dunia. Ianya menampung 5,400 tan air yang menyediakan 30,000 spesis hidupan air dan darat. Tarikan utama akuarium ini adalah Ikan Paus Jerung sepanjang 5 meter dan juga himpunan ikan-ikan yang mempunyai rupa yang unik di dunia pada masa ini.


Tempozan Ferris Wheel

Kami teruskan perjalanan ke jeti untuk menaiki feri ke seberang sungai. Yang bagusnya, feri ini disediakan percuma kepada semua orang. Kami lagi lah suka mana-mana kemudahan yang disediakan percuma kan. Setelah sampai di seberang kami berjalan ke Universal Studios Japan. Kepada penggemar taman tema Universal Studios, Universal Studios Osaka ini adalah francais kepada taman-taman tema Universal Studios yang berpangkalan di Amerika Syarikat. USS Japan di sini tarikan yang dilihat unik adalah Minion Park dan Harry Porter. Kalau nak masuk tiketnya adalah 9,000 yen tetapi pastilah kalau masuk, 4 jam pun tidak cukup untuk mengalami semua tarikan dan permainan yang disediakan.

Universal Studios Japan, Osaka

Di luar universal studio ini tedapat juga beberapa outlet francais antarabangsa yang menyediakan pelbagai tarikan dan juga makan. Ada Hard Rock café kepada yang suka mengumpul bahan kenangan macam t-shirt atau shot glass. Ada juga restoran Red Loster yang terkenal di US dengan masakan udang kara. Ada juga Bubba Gump restoran dengan segala kenangan filem terkenal Forrest Gump.

Hard Rock Cafe Osaka

Di hadapan sebuah restoran jenama tempatan

Ada macam-macam lagilah bila berjalan-jalan di sini. Tanpa disedari, waktu pada masa itu dah pukul 6 petang, Maknanya keadaan gelap di kota Osaka. Pada malam itu, kami menaiki subway dan balik ke tempat penginapan untuk berehat. Kami hendak pulang awal berehat kerana bercadang untuk pergi ke Biwako Valley iaitu lokasi taman tema salji yang terkenal yang terletak di Utara Kyoto pada keesokan hari.

Sebelum balik ke apartment, kami mencuba shopping seperi orang tempatan. Saya mendapati kedai-kedai makan di sini saiznya kecil sahaja. Kalau dihitung setiap kedai makan/restoran hanya ada 20-30 tempat duduk sahaja. Jadi saya pun membayangkan bagaimana mereka boleh berniaga dan dapat untung kalau tempat duduk hanya sedikit sebegitu. Satu lagi yang unik di sini, setiap tingkat mall kalau tema dia makanan, maka makanan sahaja yang dijual. Saya menjumpai sebuah gedung membeli-belah yang menempatkan lima tingkat kedai-kedai yang menjual makanan sahaja. Sungguh menarik kehidupan orang Osaka ni. Kami sempat membeli sushi dan strawberi mampu milik dalam kesempatan yang ada itu.

Antara sushi yang dijual. Nampak menyelerakan kan? Harga kena tengok juga


Pada malam tersebut, ramalan cuaca menyatakan bahawa keesokan harinya adalah hujan bagi Bandaraya Osaka dan di semua taman salji, jadi kami menangguhkan hasrat untuk pergi ke Taman Salji pada keesokan harinya.

Ramalan keadaan cuaca bagi kawasan lembah Biwako iaitu lokasi terkenal dengan snow resort



HARI KETIGA

Pada hari ini, hujan telah turun di bandaraya Osaka sepanjang hari, maka rancangan kami untuk melawat ski resort terpaksa ditangguhkan. Jadi kami telah pergi membuat lawatan ke tempat-tempat menarik di Bandaraya Osaka.

bergambar di hadapan penginapan sebelum memulakan pengembaraan


Terdapat pelbagai tarikan yang boleh dilawati seperti yang dicadangkan oleh brosur yang kami termui. Namun demikian, kerana bandar Osaka ini agak besar, kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengembara di kesemua cadangan yang telah diberikan.

Di subway lah tempat yang sesuai untuk berjumpa dengan orang tempatan

Suka diorang ni... Mudah-mudahan mereka atau anak-anak mereka boleh belajar di KPYPJ di masa akan datang


Kami telah melawat UMEDA Sky Building. Sebuah bangunan setinggi 173m yang unik seolah-olah sebuah kapal angkasa mendarat di atas bangunan tersebut. Kami menaiki lif hingga ke tingkat 39 sebelum dibawa masuk ke kawasan peninjauan 360o untuk mengambil gambar dan melihat-lihat Bandaraya Osaka dari pandangan atas bangunan ini.

Di Umeda Sky Building

Selepas melawat Umeda Sky Building, kami sempat melawat beberapa tarikan yang disediakan kepada pelancong bandaraya ini antaranya taman permainan ice skating, laman bermain salji dan juga pameran bunga. Kesemuanya di sediakan untuk pengunjung bandaraya yang pesat ini.

Outdoor Ice Skating Rink

Selepas itu, kami keluar dari  stesen Namba untuk meninjau lokasi membeli-belah yang terkenal di Osaka ini. Setibanya kami di Shishaibashi street, kami dapat melihat ramai orang dengan tujuan yang pelbagai di sini. Keseluruhan jalan-jalan dan kedai-kedai di kawasan ini digelar Dotombori. Tempat ini menjadi tumpuan ramai pelancong dan juga penduduk tempatan. Kami dapat melihat pelbagai lapisan masyarakat yang datang ke tempat ini. Ada pelbagai kedai berjenama antarabangsa dan juga kedai yang menjual barangan berpatutan. Ada juga kedai yang menjual barangan pre loved atau 2nd hand. Barangan ini dijamin original oleh semua peniaga di sini. Saya ada juga mengintai barang-barang yang popular seperti Hermes Birkin, versace dan lain-lain lagi. Harganya ya ampun, masih mahal juga walaupun pre loved. Namun begitu, ada juga barangan yang agak murah dan sesuai untuk dibeli jika dibuat perbandingan dengan harga di Malaysia.

Kawasan membeli-belah terkenal Dotombori

Di hujung blok tersebut kami telah berjumpa dengan restoran halal. Restoran ini dinamakan Bintang Osaka. Bintang Osaka ini menyediakan makanan Sunda (Indonesia) seperti Soto, Ayam Penyek dan Bakso. Pemilik restoran ini adalah asalnya dari Indonesia dan berkahwin dengan warga tempatan. Oleh kerana cuaca sejuk dan kami cepat merasa lapar, maka kami pun pergi ke restoran tersebut untuk mencuba masakannya. Alhamdulillah kerana kami dapat makan makanan bermasak yang halal dan rasanya sangat sedap


Makan malam di Restoran Bintang Osaka

Nasi Ayam Penyek yang sedap

Kemudian setelah itu, kami kena pulang ke penginapan melalui stesen Umeda dan tukar dengan Chou Line ke Stesen Osakako. Dalam tempoh 18 minit kami telah sampai ke tempat penginapan. Kami berehat dengan fikiran untuk keluar awal keesokan hari.


HARI KEEMPAT

Setelah mendapat maklumat mengenai sebuah lagi tarikan untuk bermain sajli, kami membuat keputusan untuk menukar lokasi lawatan dari Biwako Valley ke Rokko Snow Park, Kobe. Lokasi di Kobe ini lebih dekat dan bayaran masuknya adalah lebih murah berbanding di Biwako Valley. Pukul 9:00 pagi kami keluar dari rumah menuju ke Stesen Osaka. Kami pergi ke Hankyu Tourist Information Center untuk membeli tiket perjalanan dan tiket masuk ke Mt Rokko Snow Park. Nak main snow.....  impian kami untuk bermain salji hampir menjadi kenyataan.

Mencuba sendiri pakaian tradisional Jepun

Pass promosi untuk melawat Rokko Snow Park adalah ¥3000 seorang iaitu lebih kurang RM118 seorang. Dari stesen tersebut, kami menaiki keretapi Hankyu menuju ke Kobe. Perjalanan ke stesen Rokko mengambil masa 30 minit. Selepas itu kami menaiki bas bernombor 16 ke stesen cable car di kaki gunung Rokko.

bentuk keretapi Hankyu seperti keretapi antik berwarna perang gelap

Perjalanan menaiki bas ini mengambil masa 15 minit. Setibanya kami di stesen cable car, kami menaiki cable car yang telah digunakan sejak tahun 1920an lagi. Perjalanan menaiki kereta kabel ini mengambil masa 10 minit dengan jarak lebih kurang 1 km ke puncak Gunung Rokko. Dari Stesen Kereta Kabel ini, kami perlu menaiki bas ke Rokko Snow Park. Perjalanan menaiki bas ini mengambil masa 10 minit.

Beratur sebelum menaiki kereta kabel

Kereta kabel ke puncak Gunung Rokko

Rokko Snow Park menyambut kedatangan kami yang sudah pastinya teruja untuk bermain dengan salji. Taman Salji ini menyediakan kemudahan yang lengkap kepada penggemar aktiviti salji seperti ski, snowboarding, sledging dan juga sekadar bermain salji. Bagi peminat suka ski, taman ini menyediakan dua jenis cerun untuk mereka merasakan pengalaman menuruni bukit salji. Sekiranya  ingin mencuba sukan ini, kita boleh menyewa peralatan yang disediakan dengan kos ¥5000. Kami? Kami cukuplah sekadar bermain salji dan juga membuat snowman. Pengalaman bermain salji ini sudah cukup menggembirakan hati kami berempat.

Pintu Masuk ke Rokko Snow Park

Rokko Snow Park

Bermain salji

Snow fight

Kenangan

bersama mini snowman 

baring atas snow rasa ok

Taman ini juga sangat mesra pengunjung muslim kerana menyediakan kemudakan surau dan juga menjual makanan halal. Pendek kata, di sini tidak perlu risaukan tempat untuk bersolat dan juga makan makanan halal. Kami sangat gembira kerana dapat makan makanan panas di tempat yang sejuk seperti di Rokko Snow Park ini. Selepas itu kami pulang ke Osaka semula dengan menaiki bas terakhir meninggalkan taman itu iaitu jam 5:30 malam.

Bergambar di tangga Club House, tempat kami makan makanan halal

Pintu masuk surau 

Sejuk. Sementara menanti bas terakhir 

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Osaka yang mengambil masa lebih kurang 40 minit. Setibanya di Osaka kami telah melawat Shinsaibashi, sebuah pusat membeli belah moden yang sangat besar. Tujuan kami ke sini bukan untuk shopping, tetapi untuk pergi ke bahagian kerusi urut seperti Ogawa dan sebagainya. Di sini kita boleh menggunakan mesin-mesin tersebut tanpa rasa bersalah sebab kita boleh lihat rakyat tempatan berlumba-lumba untuk menggunakan kerusi-kerusi urut yang disediakan. Pembantu jualan di sini pun tidak kisah kalau kami mencuba mesin-mesin tersebut malah mereka menggalakkan lagi. Sungguh menyeronokkan melawat Osaka ni, boleh dapat perkhidmatan urut percuma.

Selepas sessi mesin urut




HARI KELIMA

Pagi ini kami keluar lebih awal untuk melawat kejiranan Kaiyukan untuk meninjau tarikan yang masih belum kami lawati. Pada pagi ini kami terjumpa restoran menjual makanan halal tidak jauh dari rumah penginapan kami. Pada hari ini, ramai pengunjung sedang beratur untuk memasuki akuarium Kaiyukan yang terbesar ini. Satu lagi tarikan di sini adalah menaiki kapal lama. Kami tidak menaiki kapal ini kerana tidak arif tentang penggunaan osaka pass dan juga tidak pasti kalau nak join tanpa gunakan osaka pass. Jadi kami skip ajelah aktiviti tersebut.

Satu lagi tarikan di kawasan ini adalah muzium kereta klasik yang digelar Glion Museum. Kalau sekiranya kita peminat kereta klasik dan baru, susah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melawat muzium ini. Terdapat banyak kereta klasik keluaran Ferrari, Rolls Royce dan sebagainya.

Akuarium Tempozan

Setelah membuat keputusan untuk melawat bandar lain, maka kami meneruskan perjalanan ke stesen keretapi. Kami menaiki subway hingga ke perhentian Marinomiya untuk menuju ke Osaka Castle. Keluar sahaja dari stesen ini, kita sudah boleh nampak istana lama Osaka zaman Maharaja Tokugawa.  Jaraknya adalah hampir 1 km ke istana tersebut. Bangunan ini adalah yang ketiga dibina semenjak zaman Toyomi dan Tokugawa. Muzium di istana ini mempamerkan sejarah pemimpin shogun, peperangan dan bermacam lagi sejarah masyarakat Jepun.

Di luar stesen Morinomiya

Osaka Castle

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Osaka Station untuk pergi ke Kyoto melalui Hankyu Line. Hankyu Line adalah syarikat yang berbeza dengan JR Line. Namun demikian, jangan bimbang ada banyak signboard dan juga petugas yang boleh berbahasa Inggeris yang boleh membantu kita.

Perjalanan ke Kyoto mengambil masa 40 minit. Setibanya kami di stesen Kawaramachi, kami mendapati suhu di Kyoto adalah lebih sejuk berbanding di Osaka. Kyoto adalah sebuah bandar yang menunjukkan kehidupan dan budaya Jepun yang asli. Di sini, kita akan berjumpa dengan kedai-kedai yang mengekalkan rekabentuk asal semenjak ribuan tahun yang lalu. Di sini juga, kita dapat berjumpa dengan ramai wanita dan lelaki yang memakai kimono iaitu pakaian tradisional Jepun. Mereka sangat ramah dan bermurah hati untuk meluangkan masa untuk bergambar dengan kami semua.

Di Stesen Kyoto

Sebenarnya Bandar Kyoto ini menempatkan bermacam-macam tinggalan sejarah. Kalau kita berminat untuk meluangkan lebih masa di sini, pelbagai aktiviti boleh dijalankan. Kyoto juga sebenarnya adalah sebuah bandar yang besar untuk dijelajahi. Ramai di kalangan pelancong yang datang ke sini akan menyewa Kimono pada kadar ¥3,000-¥5,000. Pelancong yang menyewa akan memakai kimono ini dan berjalan di sekitar bandar Kyoto yang sememangnya penuh dengan rumah atau kedai lama seperti di zaman ratusan tahun yang lalu. Setelah melawat salah satu daripada 'shrine' mereka, kami membuat keputusan bahawa semua shrine sama saja kot. Ada juga yang mencadangkan kami melawat Kyoto Tower tetapi kami tidak sempat kerana kesuntukan masa. Kami meneruskan penerokaan di lorong-lorong bandar ini. Kalau berjalan-jalan di sini, pastikan ada membawa kamera yang bagus kerana suasana di sini memang cantik untuk bergambar untuk dibuat kenangan. Kalau mampu, bawalah kameraman yang boleh ambil gambar yang berkualiti. Ini adalah kerana bukan selalu kita dapat melawat tempat2 sebegini.


Di sungai inilah kita dapat lihat ikan besar dan kecil berenang-renang dengan jelas

Bergambar dengan gadis tempatan yang memakai kimono

Bersama orang tempatan yang pernah berkhidmat di Malaysia

Berjalan-jalan di Bandar Kyoto

Kanji Museum

Perjalanan diteruskan dengan melawat Arashiyama. Arashiyama adalah sebuah pekan kecil di antara Kyoto dengan Osaka. Di sini kami melawat hutan buluh yang cantik dan unik. CNN mewartakan bahawa Arashiyama ini adalah hutan buluh yang tercantik di dunia. Apabila pokok buluh ini ditiup angin, ia menghasilkan bunyian alam yang indah sehingga Kementerian Alam Sekitar Jepun mengiktiraf hutan buluh ini sebagai salah satu bunyian rasmi Negara Jepun. Kami perlu berjalan kaki dari stesen keretapi menuju ke lokasi hutan tersebut. Perjalanan agak menyeronokkan dengan pemandangan kaki gunung, sungai dan perkampungan Jepun yang sangat cantik.

Di hadapan stesen Arashiyama, Kyoto

Hutan buluh di Arashiyama

Salah satu daripada rumah tradisional masyarakat tempatan 

Minah salleh pun pakai Kimono

Stesen keretapi Arasiyama yang indah dengan hiasan lampu unik

Setelah meninggalkan Arasiyama, kami meneruskan agenda membeli belah di American Mura dan Dotombori. American Mura adalah kawasan kedai yang menyediakan atau menjual barangan gaya hidup ala Amerika Syarikat seperti pakaian, jaket kulit, jeans, tattoo, bar dan lain-lain. Pada malam terakhir ini, kami sempat makan makanan Arab di kawasan Dotombori ini. Kami dapat merasa Nasi Mandy, Kari Kambing dan capati di kedai ini. Sekeping capati di sini bernilai RM18 tanpa kuah. Harga kuah pula adalah RM36 samada kita mau kuah ayam, kambing atau daging lembu. Manakala sepinggan nasi mandy adalah RM36. Dipendekkan cerita, adalah sangat berbaloi kalau kita beli nasi mandy berbanding dengan roti arab atau capati. Namun begitu, seperti biasa sebab kesejukan, kami makan lah dengan penuh selera dan tak sampai 10 minit, semua makanan habis di makan.

Makan malam di Restoran Ali,  Dotombori


HARI KEENAM

Pada jam 9:00 pagi kami meninggalkan Osaka dengan hati yang berat. Perjalanan dari penginapan ke lapangan terbang Osaka Kansai mengambil masa 70 minit. 


Selamat tinggal Universal Bay Condo

Walaupun sudah rindu dengan anak-anak dan keluarga tanahair, tetapi hati ini tetap mahu kekal lebih lama di Osaka ini. Hinggakan kami terfikir samada masih ada kesempatan untuk melawat negara ini lagi di masa akan datang. 

Antara budaya dan pengajaran yang kami pelajari semasa di Osaka, Jepun

1.  Kebersihan menjadi keutamaan seluruh masyarakat Jepun. Tandas, Jalan Raya, Laman Rumah semuanya bersih tanpa sebarang sampah. Tong sampah juga sukar ditemui di tempat umum.
2.  Orang tempatan adalah sangat mesra dan sudi membantu kami. Mereka sanggup menunjukkan jalan kepada kami walaupun mereka terpaksa berjalan mengelilingi bangunan melebihi  200 meter.
3.   Makanan halal boleh didapati di pelbagai lokasi dengan cara membaca papan iklan dengan teliti. Mereka akan memasak dengan telili dan menggunakan dapur dan penyediaan makanan berasingan untuk makanan halal.
4.    Mereka menyediakan kemudahan surau di kebanyakan lokasi tumpuan orang ramai.
5.  Ketepatan masa menjadi keutamaan rakyat tempatan. Semua aktiviti mengikut jadual yang ditetapkan, tidak awal juga tidak lewat walapun 1 minit.
6.  Longkang dan Sungai di sini amatlah bersih sehingga kita boleh nampak ikan yang sedang berenang di dalam air.
7.  Tidak ada subsidi makanan kepada rakyat Jepun, sebagai contoh 1 Kg beras harganya ¥600 bersamaan RM21.41. Sebuku roti pula harganya ¥650 bersamaan dengan RM23.20. Sepinggan nasi adalah ¥1,000 bersamaan dengan RM36. 1 liter minyak masak pula ¥1,200 bersamaan dengan RM42.83.
8.    Semua pembelian tertakluk kepada 8% Value Added Tax (VAT) lebih kurang macam GST di Malaysia lah. Tetapi cuba bayangkan kalau barang pun dah mahal, ditambah pula dengan VAT 8%, rasa ok ke tidak?
9.     Kebanyakan masyarakat muda bermain baseball di taman-taman awam dan taman sekolah.
10.   Di kejiranan kami di Kaiyu, amat sukar untuk melihat rakyat tempatan berjalan atau meluangkan masa di taman-taman. Mereka hanya boleh ditemui di Shopping Mall, stesen keretapi atau subway. Selain daripada itu, kebanyakan tempat lengang dan tenang sahaja.
11.   Bandaraya Osaka, Kyoto, Arashiyama, Kobe dan lain-lain sebenarnya mempunyai banyak tempat yang menarik dan pengembara perlu masa yang lama untuk melawat kesemua tempat tersebut.
12.   Kalau nak beli souvenir, lebih baik beli di Lapangan Terbang sebab ianya bebas cukai, kalau beli di Dotombori atau mana-mana lokasi tumpuan shopping sudah pasti kena bayar VAT. Satu lagi kalau kita dah sibuk nak balik, kita tidak berkesempatan nak tuntut balik duit VAT di lapangan terbang sebelum balik ke Malaysia.
13.  Kalau nak rasa salji turun dan laman, jalanraya dilitupi sali, sila lawat Sapporo kerana di sana salji memang banyak turun dan mereka ada menganjurkan Sapporo Snow Festival pada musim sejuk untuk kita lawati. 

Akhir sekali... terima lah video yang telah saya siapkan khusus mengenai lawatan ke Osaka ini




Thursday, January 25, 2018

LAWATAN 1000KM DI VIETNAM

Saya merasa sangat bersyukur kerana dapat melawat Vietnam sekali lagi. Lawatan kali ini menjadi realiti kerana Kolej Yayasan Pelajaran Johor telah melantik saya sebagai konsultan bagi program ini. Seramai 32 orang terlibat dengan pengembaraan ini. Yang menariknya, lawatan kali ini kami melawat tempat yang lebih jauh dan pastinya berbeza dengan apa yang telah dilawati sebelum ini.

Untuk urusan di Vietnam, saya telah menggunakan khidmat syarikat tempatan yang lebih arif dengan keadaan di negara tersebut.


15 Disember 2017 - Hari Pertama

Penerbangan melalui Senai International Airport bermula seawal 5:00 pagi. Lapangan terbang Senai pada masa ini sedang dibuat renovation. Ahli rombongan tiba berperingkat-peringkat. Walaupun agak kalut, tetapi kami semua dapat melepasi semuanya dengan baik dan dapat menaiki penerbangan jam 6:50 pagi

Ahli rombongan

Setibanya di Ho Chi Minh City, kami disambut oleh Kaka dan Stafnya iaitu Yuni. (Di sebut Ho Ce Menh) oleh orang tempatan. Kami menaiki bas menuju ke Ben Thant. Ho Chi Minh adalah sebuah bandar yang pesat dengan penduduk seramai 5 juta orang. Majoriti rakyatnya menggunakan motosikal sebagai mod pengangkutan di bandaraya ini. Majoriti rakyatnya juga tidak mempunyai kereta mungkin kerana harganya mahal dan juga kerana harga petrol di sini sangat mahal iaitu RM4 seliter.

Pada hari pertama, setelah melakukan hentian sebentar di Ben Thanh market, kami telah di bawa makan tengahari di Restoran Kampung Pandan. Restoran ini menyediakan juadah yang enak kepada kami.


Perjalanan ke diteruskan ke bandar Mui Ne. (Disebut Monaay oleh orang tempatan) Walaupun jaraknya tidaklah terlalu jauh, kami memerlukan 4 jam untuk sampai ke lokasi ini sebab sebahagian besarnya menggunakan jalan biasa dan had laju di sini yang lebih rendah. Tarikan utama Mui Ne adalah pengalaman melawat padang pasir seperti di gurun sahara. Ianya adalah gurun padang pasir yang terbesar di Asia Tenggara.


Jam 5:30 petang sampai di Mui Ne, kami bermalam di Mui Ne Beach Resort, sebuah resort 3 bintang yang sangat selesa dengan pemandangan kolam renang dan laut China Selatan. Walaupun resort ini ringkas sahaja, ianya dikunjungi oleh ramai pelancong berkulit putih. Mungkin kaedah pemasaran mereka berkesan untuk menarik pelancong dari negara-negara tersebut.


16 Disember 2017 - Lawatan ke Gurun

Pukul 5:00 pagi, kami telah dibawa dengan Jeep ke White Sand Dunes. White Sand Dunes ini menawarkan sebuah padang pasir yang luas lebih kurang 100 ekar dengan pasirnya berwarna putih. Kami menaiki ATV atau Jeep untuk pergi ke dalam kawasan padang pasir tersebut. Setibanya kami di tengah padang pasir itu, kami telah mengambil gambar serta menjalankan program kerja berkumpulan. Sungguh menyeronokkan dan memberikan pengalaman baru untuk mengadakan program di sini.
Pengangkutan ke padang pasir

Suasana Matahari terbit di White Sand Dunes

Ahli rombongan 

Aktiviti berkumpulan

Di padang pasir ini, kelihatan bukit-bukit yang terbentuk secara semulajadi melalui tiupan angin. Sebagai seorang pelancong, boleh dikatakan bahawa pengalaman melawat padang pasir ini adalah sesuatu yang unik.

Kemudian kami telah melawat Red Sand Dunes yang terletak 10 km daripada padang pasir yang pertama. Di sini, padang pasirnya berwarna kemerah-merahan. Oleh kerana pada waktu tersebut sudah menghampiri jam 10 pagi (11 pagi) waktu Malaysia, maka kehangatan sinar matahari dapat dirasakan. Maka kami mengambil masa yang pendek sahaja di Red Sand Desert ini manakala ahli yang lain menunggu di gerai menikmati air kelapa segar.

Red Sand Dunes

Red Sand Dunes


Kemudian kami telah melawat Fishing Village di mana ianya adalah tumpuan nelayan tempatan membawa hasil tangkapan mereka di Laut China Selatan. Kami sempat juga menempah dua ekor udang kara pada trip kali ini. Udang ini dijual dengan harga yang sangat murah kepada kami. Kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba seafood tempatan.

Fishing Village

Lobster dijual murah lebih kurang RM90 seekor

Lobster masak butter. Sedap woo

Kemudian kami melawat The Fairy Stream, ianya merupakan tebing sungai yang mempunyai tanah yang warna yang berbeza. Ini telah mewujudkan tebing yang cantik untuk dirakamkan di dalam gambar dan video.
Menyusuri anak sungai menuju ke Fairy Stream

Tebing berwarna-warni di Fairy Stream

Kemudian kami ke hotel untuk check out dan makan tengahari di restoran makanan halal India.

Kemudian perjalanan ke Da Lat bermula. Perjalanan ke Da Lat ini mengambil masa 5 jam kerana jalan yang dilalui adalah jalan kampung. Setelah melalui pelbagai daerah, hutan dan pekan, akhirnya kami tiba di Da Lat pada jam 6:00 petang. Suhu di Da Lat adalah 14 darjah celcius dan bilik hotel kami tidak disediakan penghawa dingin.

Kami sungguh bertuah kerana kami ada pasar malam di hadapan hotel kami. Di pasar Da Lat ini, banyak barangan, pakaian musim sejuk, makanan, buah-buahan dijual oleh orang tempatan pada harga yang agak murah. Kami dapati juga di sini agak kurang pelancong luar kelihatan. Kami juga mendapati bahawa peniaga tempatan lebih mudah untuk proses tawar menawar. Mereka juga tidak memaksa kita membeli sekiranya kita tidak jadi membeli selepas tawar-menawar

Pasar malam Dalat

17 Disember Lawatan ke Da Lat

Jadual pada hari ini padat dengan lawatan ke pelbagai lokasi di bandar ini. Yang pertama, kami telah melawat puncak Langbiang Mountain. Di puncak Langbiang ini, suhunya lebih rendah dan anginnya kuat. Dari puncak gunung ini, kami dapat melihat bandar Da Lat dari ketinggian 1000 meter. Di puncak gunung ini juga, disediakan beberapa kemudahan dan tarikan yang sesuai dengan pelancong.

Di Puncak Gunung Langbiang

Pondok dan buaian untuk pelancong

Kemudian kami telah dibawa ke Valley of Love, sebuah taman yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan di kawasan hawa sederhana. Ada 200 jenis bunga ditanam di taman ini. Peserta rombongan dapat meluangkan masa untuk bergambar kenangan dengan bunga-bungaan ini.

bergambar kenangan di Valley Of Love

Kemudian kami telah dibawa ke air terjun Daltala. Air terjun yang indah di kaki gunung. Pengalaman menarik di sini adalah kami menaiki roller coaster mini untuk sampai ke lokasi air terjun tersebut.

Roller Coaster comel untuk orang yang comel seperti saya dengan kawan saya ni

Di hadapan Daltala Waterfall

Selepas Daltala Waterfall, kami telah dibawa melawat Dalat Flower park iaitu lokasi diadakan Dalat International Flower Festival. Dalat Flower park adalah berkeluasan 7,000 meter persegi di Lembah Cu Hill. Taman ini mempunyai lebih daripada 300 jenis bunga-bungaan yang kebanyakannya berkembang sepanjang tahun. Kepada penggemar bunga, sudah pasti akan teruja kalau datang ke sini. Masa yang paling sesuai melawat taman ini adalah pada minggu akhir bulan Disember kerana taman ini akan dihias indah untuk menjadi tumpuan pameran bunga peringkat antarabangsa.

Bunga-bungaan mekar

Antara bunga yang ditanam di sini

Di Da Lat ini, kami telah dibawa ke restoran makanan halal tempatan. Boleh dikatakan bahawa disinilah makanan paling enak yang dapat kami rasakan di sepanjang lawatan kami ke bumi Vietnam ini.


Makan tengahari dan malam di Restoran Fatimah. Saya beri 5 bintang

Geng-geng wanita menjamu selera 



18 Disember Pongour Waterfall

Pada hari ini, kami akan bergerak ke Ho Chi Minh City. Semasa dalam perjalanan balik tersebut, kami sempat singgah di Pongour Waterfall. Pongour waterfall ini adalah sangat popular di Vietnam dan pernah menjadi lokasi pilihan penggambaran filem hollywood. Jika dilihat, air terjun ini terjadi mungkin disebabkan pergerakan bumi di suatu masa dahulu. Oleh kerana pergerakan bumi ini melibatkan keluasan tanah yang besar, maka terbentuklah air terjun yang besar dan sangat cantik seperti ini.

Air Terjun Pongour

Semasa kami berada di sini, kami mendapat perkhabaran gembira iaitu Kolej Yayasan Pelajaran Johor telah mendapat 5 bintang bagi penarafan MyQuest Kementerian Pengajian Tinggi. Kami telah mengadakan majlis ringkas dan doa kesyukuran bersempena dengan pencapaian kolej yang membanggakan ini.

Doa kesyukuran bersempena dengan pencapaian  kolej mendapat 5 bintang MyQuest KPT

Selepas selesai melawat Pongour waterfall, kami menaiki bas sehingga sampai di Ho Chi Minh City. Perjalanan ini mengambil masa 7 jam melalui jalan darat. Di dalam perjalanan ini kami sempat singgah di 3 buah RnR untuk berehat dan merawat apa yang perlu.


19 Disember Mekong Delta

Pada hari ini, sebahagian daripada peserta memilih untuk melawat ke Mekong Delta. Mekong Delta ini adalah lokasi yang sangat subur dan terkenal dengan penanaman buah mata kucing. Kami disajikan dengan aktiviti ekonomi masyarakat di pulau ini seperti penanaman buah mata kucing, perusahaan gula kelapa, menaiki sampan, menaiki kereta kuda dan perusahaan madu asli.

menaiki kereta kuda di Pulau Naga

Perusahaan madu lebah

Menaiki sampan di Mekong Delta

Makan tengahari di sini juga amatlah mewah dan sedap. Kami menjangkakan lauk-lauk yang disediakan boleh dikongsikan oleh 10 orang dewasa. Makanan dengan lengkap dengan lauk-pauk seperti ikan siakap, ayam goreng, udang galah, telur dadar, kari ikan dan sebagainya.

Juadah makan tengahari di Mekong Delta

Selain daripada tarikan aktiviti di Sungai Mekong ini, ahli-ahli rombongan dapat merasai pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan kerana kesemua rakyat Malaysia yang berada di Ho Chi Minh ini adalah jutawan. Ini bermakna mereka boleh membali banyak barangan untuk diri sendiri atau keluarga.

Sebagai gambaran, sekiranya kita ingin menempah sepasang kot, kita boleh berbuat demikian di Ben Thanh market dalam tempoh 24 jam dengan harga serendah RM200. Kita juga boleh membeli pelbagai jenis tudung, kasut, baju jahit, telekung dan tshirt dengan harga serendah RM10. Sekiranya kita tidak membawa beg ke sini, tidak perlu bimbang kerana kita boleh membeli beg outdoor Deuter dengan harga bermula dari RM15 sahaja.

Syurga membeli belah di Malaysia Street

Hotel kami, Alagorn Hotel letaknya di tengah-tengah Malaysia street, jadi tidak hairanlah kerana ada kawan bagitau ada di antara ahli rombongan yang naik dan turun dari hotel kami membawa barangan yang diborong. Kalau naik dan turun 2 kali itu dianggap biasa, ini ada yang sampai 6 kali naik dan turun membawa barangan ke bilik hotel. Mewah betul rakyat Malaysia.

20 Disember Pulang 

Pada jam 5:00 pagi semua ahli rombongan pulang ke Johor Bahru. Kaka dan Yuni mengucapkan selamat tinggal kepada kami di bilik hotel. Semua peserta dengan diberikan cenderahati berupa cawan yang dicetak dengan gambar kami. Pengalaman yang indah kepada semua ahli rombongan kerana dapat menyertai rombongan ini.

Pengajaran dari lawatan ke Vietnam
1. Orang tempatan fokus kepada meningkatkan ekonomi keluarga. Kami tidak nampak pantai Vietnam dikunjungi oleh rakyat tempatan untuk bermandi-manda bersama keluarga walaupun pantainya bersih dan airnya jernih.
2. Petrol di sini harganya RM4.00 satu liter. Justeru itu kepada yang betul-betul kaya sahaja yang mampu memiliki kereta kerana harga minyak yang begitu mahal.
3.  Kebanyakan rakyat tempatan bersaiz M dan L sahaja. Oleh itu adalah sukar untuk membeli pakaian sejuk di Dalat yang sesuai dengan saiz rakyat Malaysia. Termasuk lah saya hehe
4.  Rakyat Vietnam ni kurang mesra pelancong dan kebanyakan yang tidak faham bahasa inggeris lebih suka untuk menggelanggkan kepala mereka tanda tidak tahu.
5.   Isu keselamatan masih menjadi keutamaan di sini. Oleh itu, kami dinasihatkan untuk bergerak di dalam kumpulan agar keselamatan kami dapat jaga bersama.

Kos yang dibelanjakan bagi trip ini adalah RM2,000 seorang termasuk flight, hotel, pengangkutan, 2 kali lunch, 3 kali dinner dan 6 kali sarapan.

Tuesday, July 18, 2017

LAWATAN KE DOHA, QATAR

Pada bulan Disember 2016, saya telah berkesempatan untuk melawat negara arab yang kaya iaitu Qatar. Pintu masuk Qatar adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad. Semua penerbangan di Lapangan Terbang ini adalah penerbangan antarabangsa. Hamad International Airport sendiri adalah sebuah lapangan terbang yang moden dan canggih. Satu contoh kecanggihan yang mengkagumkan saya adalah mesin pengimbas retina manusia yang digunakan adalah seumpama di dalam filem James Bond.

mesin pengimbas retina yang canggih di airport ini

Qatar ialah sebuah negara yang menarik dan antara negara terkaya di Timur Tengah. Banyak pelaburan bernilai tinggi di seluruh dunia yang dimiliki oleh negara Qatar. Ibu negeri Qatar adalah Doha. Lapangan terbang Doha digelar Hamad International Airport. Semua terminal adalah international terminal belaka. Qatar sebenarnya adalah sebuah negara yang kecil namun mempunyai sumber minyak yang sangat banyak untuk keperluan ekonomi negara tersebut.

Ibu negara Qatar, Doha adalah sebuah bandaraya yang indah dengan bangunan-bangunan pencakar langit. Di sini, rakyat tidak perlu membayar bil elektrik dan air. Begitu juga rakyat di sini tidak perlu membayar cukai pendapatan. Oleh kerana rakyat tempatan masih belum mencukupi untuk mengisi kekosongan jawatan di negara ini, negara Qatar menggalakkan profesional dari luar untuk datang dan berkhidmat di negara Qatar.

Ketibaan di Hamad International Airport

Pada musim sejuk, suhu di waktu pagi boleh serendah 10 Celcius, tetapi apabila menjelang tengahari, suhunya menjadi sederhana hingga 25 Celcius. Semasa di Qatar, saya melawat Souf Waqif iaitu pasar yang menjadi tumpuan pelancong untuk melihat budaya dan cara hidup orang tempatan. Di sini saya dapat melihat rempah-rempah, fabrik, buah-buahan, madu, minuman dan pelbagai hasil ekonomi rakyat tempatan dijual kepada pengunjung. Qatar menggunakan matawang Riyal Qatar. Pada masa lawatan ini, nilainya adalah lebih tinggi daripada ringgit malaysia. RM1 bersamaan dengan 0.80 Riyal Qatar.

 Souq Waqif 

Anggota Keselamatan berkuda di Souq Waqif  

Warna-warni fabrik anyaman dan tenunan di Souq Waqif

Rempah-rempah yang dijual

Jalan menuju ke pusat bandar

Berlatarbelakangkan bandaraya Doha

Saya juga sempat melawat Masjid Besar di Qatar. Masjid ini adalah binaan yang dibina dengan teliti oleh orang-orang Qatar. Saiznya besar dan hiasannya disematkan dengan rapi sebagai tanda budaya orang Qatar yang kaya dengan kesenian.

Hiasan di dalam ruangan solat Qatar Grand Mosque

Di dalam ruangan wudhuk

Selepas melawat masjid besar, saya telah dibawa ke tepi pelabuhan lama di mana bot-bot tradisional yang digunakan untuk menangkap ikan. Rekabentuknya yang tradisional itu menarik perhatian saya. Saya juga diberitahu bahawa dahulu Doha ini adalah sebuah pelabuhan yang menjadi tumpuan nelayan tempatan berlabuh dan menjual hasil tangkapan mereka. Keluar sahaja dari Bandaraya moden ini, Qatar masih mempunyai padang pasir yang luas. Sekiranya saya ada masa yang lebih lama, mungkin saya dapat melawat terikan di padang pasir  seperti menerokai Sand Dunes, berinteraksi dengan Unta atau melihat kambing gurun ikon negara Qatar.

Bandaraya Doha yang moden

Pertembungan dua zaman, bot nelayan tradisional orang-orang tempatan 
berlatarbelakangkan bandaraya yang moden

Semasa di Qatar, sempat juga kami makan tengahari di restoran tempatan. Di sini kami dapat makan daging bakar yang sedap. Lagipun memang kami tengah lapar, terus makan ajelah tanpa was-was... Alhamdulillah memang sedap daging bakar dia.

Ini paling sedap. Kambing dan ayam bakar dihias dengan french fries

Yang ini ada roti panjang di makan bengan masakan daging kisar dan humus (Kacang Dal)

PUSDIKLAT MIGAS, CEPU INDONESIA

Saya telah berpeluang melawat Pusat Didikan dan Latihan Minyak dan Gas yang berpusat di Cepu Indonesia. Perjalanan kami bermula dari Johor Bahru menaiki penerbangan Airasia ke Surabaya. Dari surabaya kami menaiki van besar menuju ke Cepu, sebuah bandar yang letaknya 129 km di Jawa Tengah. Oleh kerana sistem pengangkutan darat yang kurang efisien, perjalanan kami mengambil masa 4-5 jam. Jam 1 tengahari di airport Surabaya dan kami sampai di Cepu jam 7:00 malam. Di dalam perjalanan tersebut sempat kami berhenti untuk makan di dua lokasi. Makanan yang disajikan agak berbeza sedikit daripada negara kita. Dalam banyak-banyak makanan itu, supnya yang paling tidak boleh diterima oleh selera saya.

Setibanya kami di Cepu, kami disambut oleh Bapak Hadiyono, staff kanan institusi tersebut. Selepas menikmati jamuan makan malam, kami bergerak hotel iaitu Hotel Ami, Cepu. Hotel ini adalah satu-satunya hotel 5 bintang yang beroperasi di bandar Cepu ini. Kalau anda bermalam di hotel ini, saya rekomen juadah Iga Bakar atau rusuk kambing bakar. Ini adalah menu kambing yang paling sedap di seluruh Indonesia.

Pusdiklat MiGas, Cepu Indonesia

Telaga minyak yang masih beroperasi hingga ke hari ini

Bp Hadiono menjadi pemandu lawatan kami

Pada saya Pusdiklat MiGas di Cepu ini adalah sangat 'rare' kerana ianya mempunyai telaga minyak, kemudahan untuk melombong dan kemudahan untuk memproses minyak menjadi bahan yang dikehendaki. Justeru itu, kepada mana-mana organisasi yang berminat nak bekerjasama di dalam latihan minyak dan gas, Pudiklat ini adalah jawapannya.