Saturday, June 17, 2017

1995 - Illinois, Bowling Green, Missouri, Topeka, Wichita Kansas 1,534 batu Perjalanan

Percutian Musim Panas 1995, saya telah bertuah untuk meneroka beberapa bandar di Midwest. Perjalanan bermula di Chicago. Saya telah menyertai seorang senior yang berasal dari Muar Johor. Dengan menaiki keretanya yang ala-ala uzur itu, kami menuju ke sebuah pekan bernama Bowling Green 229 batu ke selatan Chicago. Di Bowling Green ini, kita dapat melihat suasana kampung di Amerika. Kebanyakan masyarakatnya adalah baik dan mesra kepada orang luar. 

Setelah itu, kami sempat singgah di The University of Illinois - Urbana Campaign untuk berjumpa dengan komuniti Melayu dan bukan melayu yang tinggal di kawasan tersebut.

Setelah itu, kami bergerak ke DeKalb Illinois. Di Pekan DeKalb ini, disinilah wujudnya The University of Illinois - DeKalb. Di sini ramai juga komuniti Melayu yang tinggal samada yang sedang belajar mahupun yang sudah bermustautin di situ. Saya yakin bahawa kebanyakan yang bermustautin di De Kalb kerana mereka telah lama dihantar oleh kerajaan Malaysia samada melalui JPA atau MARA untuk belajar di sini. Apabila wujud bilangan ahli komuniti yang melebihi 300 orang, maka wujudlah pelbagai peluang seperti perniagaan dan pekerjaan yang menyebabkan mereka membuat keputusan untuk terus tinggal di bandar ini.


Kemudian ke St Louis, Missouri.

Satu pengalaman yang menarik semalam dalam perjalanan, kereta yang kami naiki mengalami kerosakan kecil. Apabila kami berhenti dan senior itu membuka hodnya, berlaku kebakaran kecil pada enjin kereta tersebut.. maka kami kelam kabut memadamkan kebakaran dengan air minuman kami. Syukur kebakaran itu berjaya dipadamkan. Kemudian, State Highway Patrol membantu kami untuk membolehkan perjalanan kami diteruskan. Di St. Louis kami singgah di dua buah uni iaitu ST Loius University dan University of Missouri St. Louis. Missouri ini sebuah bandar yang terkenal binaan gerbang (Arch) yang besar dan biasanya pelawat akan mengambil peluang melawat St Louis Arch tersebut. Satu lagi St Louis ini terkenal dengan Budweisier, Beer kebanggaan Amerika.


Dua bandar lagi yang kami lawati adalah Kansas City dan Topeka. Kami meluangkan masa 3-4 hari di kedua-dua bandar tersebut. Akiviti yang sama berlaku di kedua-dua bandar tersebut. Di salah satu kejiranan yang kami lawati, saya dapat berjumpa dengan keluarga keturunan Arab yang mengatakan bahawa tujuan mereka berhijrah ke Amerika adalah untuk mendapatkan privacy, tetapi dengan ketibaan kami, dia berkata, dunia ini interesting. Privacy yang dimaksudkan adalah hidup tanpa mendengar azan dan juga dakwah mengenai Islam.

Kemudian ke Wichita, Kansas. Wichita adalah sebuah bandar yang sederhana besar dan University yang terkenal di sini adalah University Of Kansas at Wichita. Kami sempat juga berjumpa dengan pelajar-pelajar Melayu tajaan MARA di uni ini.

Oleh kerana tempoh perjalanan sudah cukup lama, maka kami tidak sempat untuk melawat Colorado yang letaknya bersempadan dengan Kansas ini. Kami pun pulang ke Chicago. Di Chicago saya menginap 2-3 hari berhampiran dengan Stadium Wrigley Field, stadium pasukan baseball Chicago Red Sox. Pada waktu itu, saya ingat bahawa cuaca sangat panas melanda Bandaraya Chicago. Saya ada mendengar berita tentang kematian beberapa senior citizen yang terdedah kepada heat wave yang ekstrim pada masa itu. Kepanasan yang saya maksudkan adalah 115 darjah Fahrenheit iaitu lebih kurang 46 darjah celcius. Selepas meluangkan masa dua-tiga hari ke kejiranan tersebut, saya pulang ke Milwaukee dengan menggunakan pengangkutan awam.

Perjalanan yang melebihi 38 hari tersebut kami mengamalkan konsep bersederhana dan tidak cerewet di mana nak tidur. Makanan ruji kami adalah macaroni and cheese dan cereal kerana kebanyakan bandar yang dilawati itu tidak diketahui adanya kedai makanan halal. Cuma apabila kita berada berhampiran komuniti Islam, kita akan dijemput untuk makan di rumah mereka. Di sinilah peluang kami untuk merasa menu yang berasaskan daging yang sedap-sedap.

Keseluruhan perjalanan ini adalah  lebih kurang 1,534 batu. Di dalam perjalanan yang panjang ini, saya kesal kerana tidak ingat butiran mengenai senior tersebut. Maaf ya abang senior.


No comments:

Post a Comment