Tuesday, June 20, 2017

UMRAH DI TANAH SUCI MEKAH

Pada bulan Disember 2016, saya dan keluarga mendapat peluang menjadi tetamu Allah. Dengan rasa syukur saya nurkilankan pengembaraan sahaja ya. Perjalanan saya bermula dari Johor Bahru dengan menaiki Malaysia Airline ke KLIA. Di KLIA kami menggunakan Qatar Airwars transit di Doha dan seterusnya penerbangan terus ke Madinah Munawwarah. Pengembaraan ini disertai oleh keluarga, iaitu ibu mertua saya, ipar dan kakak kandung saya.

Kalau nak pergi umrah, dinasihatkan agar kita berada di KLIA 4 jam sebelum penerbangan. Ini adalah kerana KLIA ini merupakan bangunan yang besar dan proses check in dan boarding nya boleh merisikokan perjalanan kita. Maksud saya, setelah tamat taklimat yang diberikan oleh pegawai, kami diberi kurang daripada 1 jam untuk masuk melalui proses imigresen, kemudian naik transit rel ke international boarding terminal lepastu berjalan/berlari lagi ke kapal terbang. Saya pikir kalau tak bertanya, maunya terlepas flight.


Rombongan umrah kali ni bersama mertua dan keluarga

Setelah melalui cabaran yang disenaraikan di atas, berjaya juga kami masuk dalam kapal terbang walaupun beratur nak masuk tadi sangatlah panjang. Kami menaiki kapal terbang Airbus A340 yang boleh membawa 300 orang atau lebih penumpang.


Di dalam kapal terbang


makan time. saya suka sangat makan

Penerbangan ini mengambil masa 9 jam dan kami perlu transit di Doha untuk menukar flight ke Madinah. Setelah melalui penerbangan selama 2 jam lagi, kami sampai di Madinah pukul 5:00 pagi. Proses imigresen di Lapangan Terbang Hamad, Madinah sangat meletihkan. Oleh kerana saya membawa mak mertua menggunakan whellchair, maka kami dapat pelepasan segera imigresen. Manakala ahli keluarga yang lain perlu menunggu dalam masa yang agak lama kerana imigresen Arab Saudi sangat teliti menerima tetamu dari luar negeri bagi membendung masalah penyalahgunaan VISA Umrah.

Di luar lapangan terbang Madinah.

Pada pagi tersebut, kami terus melawat Masjid Nabawi

Apabila berada di Madinah, syarikat pelancongan kami telah memberikan beberapa tips untuk kami lakukan di Madinah terutamanya melawat Makam Nabi dan Beribadah di Raudah. Masjid Nabawai adalah sebuah masjid yang sangat besar. Oleh yang demikian, kita perlu ada strategi untuk berada di lokasi sembahyang yang menjadi tumpuan. Sekiranya tiada strategi maka kita pasrah sahajalah di mana saja kita akan bersolat nanti. Bulan Disember adalah musim sejuk di Madinah, cuaca sejuknya antara 16-21darjah celcius. Maka, kalau kita bersolat di luar masjid atau di atas marmar masjid, sejuk dia boleh meresap ke dalam tulang. Maka dengan itu, tertutamanya di waktu malam, perlu memakai pakaian yang sesuai dan juga membawa sejadah sendiri in case tiada tempat di dalam saf dan perlu mengalah dan bersolat di luar pintu Babus Salam atau Babul Baqi'.

2-3 Hari kami di Madinah diisi juga dengan lawatan ke lokasi bersejarah seperti Masjid Quba. Masjid Quba adalah masjid yang pertama dibina menurut sejarah Islam. Setibanya kami di masjid Quba' kami menunaikan solat menghormati masjid dan berdoa ikut kehendak kita.

Di hadapan masjid Quba'

Di dalam ruangan solat di dalam masjid Quba'

Kami juga di bawa melawat ke ladang kurma serta medan pertempuran Uhud. Apabila berada di ladang kurma, kami diperkenalkan dengan kurma Ajwa, iaitu kurma Nabi. Kurma ini mempunyai sejarah yang menarik di mana orang yahudi telah merebus biji kurma sebelum memberikan kepada Nabi. Mereka yakin bahawa benih kurma tersebut tidak akan bercambah. Namun, dengan kuasa Allah, kurma yang diberikan oleh Yahudi itu di tanam oleh Rasullullah saw dan ianya hidup dan mengeluarkan buah sehingga sekarang. Kurma ajwa ini berharga RM100 sekilogram.

Jabal Rummah di mana tentera islam berkubu semasa perang Uhud


Di medan pertempuran Uhud, kami diberi penerangan mengenai peritiwa Uhud di mana lokasi perang, lokasi bukit di mana tentera Islam berkubu dan juga di medan di mana tentera musyrik menyerang semula orang Islam. Di situ juga makan Saidina Hamzah yang dibunuh dengan kejam oleh pembunuh upahan musrik dan juga hatinya dikunyah-kunyah oleh seorang wanita musyrik juga diceritakan kepada kami.

makam Saidina Hamzah r.a.h.

Kami juga sempat melihat Masjid Qiblatain semasa di dalam perjalanan pulang ke penginapan kami. Mengikut sejarahnya, masjid Qiblatain ini pada mulanya berkiblatkan BaitulMuqaddis di Palestin. Namun pada hari, Rasullullah saw telah menerima wahyu dan mengubah kiblat orang islam ke arah Masjidilharam di Mekah. Maka Rasulullah saw telah berpaling ke arah Mekah dan kiblat orang Islam ditetapkan ke arah Mekah sejak daripada peristiwa tersebut.


Masjid Qiblatain

Suasana solat Jumaat di Masjid Nabawi sangat menyeronokkan kerana dapat melihat ratusan ribu umat Islam dari seluruh dunia menunaikan solat Jumaat bersama-sama. Setelah tamat solat, kesemua ahli jemaah bergerak dengan tertib untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Selepas solat Jumaat.

Makanan di Madinah ni ada banyak masakan arab, namun kita ada banyak pilihan untuk makan menu macam di negara kita. Cuma bezanya di sini harganya mahal sikit.

Perjalanan ke Mekah


Pada hari terakhir di Madinah, kami telah bersiap dengan memakai pakaian ihram semasa menunaikan solat terakhir di Masjid Nabawi. Kemudian kami bergerak di dalam bas ke Masjid Bir Ali untuk memulakan ibadah umrah. Perjalanan ke Mekah mengambil masa 4-5 jam. Di dalam perjalanan, kami sempat singgah di R&R untuk menikmati makan malam. Makanannya simple sahaja. Tetapi kami makan berselera tu... mungkin lapar agaknya. 

Bergambar di R&R selepas makan malam nasi arab lauk ikan tilapia goreng


Apabila tiba di Mekah, kami terus melaksanakan tawaf umrah, saie dan juga mencukur rambut. Semasa lawatan kami, masjidil haram telah mengalami transformasi yang sangat pesat. Kerja-kerja membesarkan bangunan berjalan dengan pesatnya. Satu perkara yang menarik lagi adalah di dalam masjid yang luas ini, sebahagian besarnya di lengkapi dengan penghawa dingin. 

Hotel kami, Heraa Hotel letaknya 900 meter daripada dataran Masjid, justeru itu, kami perlu berada 1 jam sebelum masuk waktu solat untuk memastikan kita dapat beribadat di dalam masjid. Sekiranya di dalam musim Haji, saya dibertahu bahawa jemaah mestilah berada di masjid 4 jam sebelum masuknya waktu solat.

Suasana Tawaf di Masjidilharam 

Selepas tawaf, saya bergerak untuk menunaikan saie di antara bukit Safa dan Marwah. Saie ini dilaksanakan selepas kita tamat menunaikan solat sunat tawaf dan minum air zam zam. Jarak antara dua bukit ini adalah 700 meter. Oleh yang demikian, perjalanan pergi balik semasa melakukan tawaf adalah dalam lingkungan 4.5km. Oleh kerana ramai jemaah yang melakukan tawaf, kita tidak sempat berasa kepenatan apabila melaksanakan saie ini.

Di bukit Marwah iaitu lokasi terakhir pada kiraan 7 
berulang-alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah

Selepas itu, kami dapat meluangkan masa melawat Muzium yang menyimpan pelbagai sejarah dan ilmu pengetahuan mengenai Masjidil Haram. Kita juga dapat melihat sejarah dan perubahan-perubahan yang berlaku di Masjidil Haram dari zaman dahulu sehingga ke zaman sekarang.

Di hadapan Muzium

Di hadapan gambar Masjidil Haram pada tahun 80 an

Saya juga ingin berkongsi pengalaman mendaki Gunung Nur untuk sampai ke gua Hira, Gua Hira' adalah tempat bersejarah untuk umat Islam kerana di sinilah lokasi Rasulullah saw menerima wahyu yang pertama. Pendakian dimulakan pada jam 9:00 malam. Ketinggian yang perlu didaki untuk sampai di Gua Hira adalah 1 km. Pendakian pada waktu malam pada musim sejuk memang sangat menyeronokkan. Pendakian dari bawah ke puncak melalui permukaan gunung yang berbatu. Orang tempatan telah memudahkan pendakian dengan menyusun batu-batu menjadi tangga dan ada sebahagian kawasan itu disimen dengan kemas untuk memudahkan pendakian. Pintu gua Hira adalah sempit dan hanya boleh dimasuki oleh seorang dewasa di dalam satu masa. 

Gua Hira menurut Google Maps

Pintu Gua Hira'

Semasa di Gua Hira' Mutawwif memberitahu bahawa tiada amalan spesifik yang dituntut. Oleh yang demikian, kami hanya membaca beberapa ayat quran dan berdoa beramai-ramai. Susana yang indah berada di puncak gunung dan kita dapat melihat pemadangan kota mekah serta Masjidil Haram dari jauh amat mendamaikan. Kami diberitahu bahawa semua masjid atau rumah ibadat di Kota Mekah menggunakan lampu hijau di menaranya. Disitu kita dapat melihat taburan lampu hijau yang sangat banyak dari Gunung tersebut hingga ke Masjidil Haram.

No comments:

Post a Comment