Tuesday, June 20, 2017

MENDAKI GUNUNG KINABALU 2.0

Pada 5 November 2010, saya dan isteri telah berpeluang mendaki Gunung Kinabalu iaitu Gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Saya sebenarnya tidak minat outdoor sangat, tetapi Gunung Kinabalu ini menyediakan pengalaman mendaki yang sempoi, makan sedap, tidur di tempat yang selesa, jadi saya setuju dengan aktiviti tersebut.

Untuk mendaki Gunung Kinabalu, terdapat 3 trek laluan yang digunakan oleh pendaki. Yang pertama adalah melalui Timpohon Gate iaitu yang paling pendek jaraknya. Yang kedua adalah melalui Mesilau iaitu yang paling jauh jaraknya dan yang ketiga adalah melalui Ferrata, iaitu yang menggunakan tali dan peralatan naum yang paling mahal. Pendakian kali ini adalah melalui Mesilau. Apabila mendaki melalui Mesilau, keseluruhan perjalanan bertambah 3 km daripada jarak perjalanan biasa.

Sebelum kami mendaki, kami bermalam dahulu di Mesilau Lodge di mana kami disajikan dengan makanan steamboat. Makanan ini menjadi sangat sedap kerana keadaan cuaca sejuk di tempat penginapan tersebut dengan kabus yang tebal betul-betul memberi makna sedapnya makanan panas untuk dinikmati di sini. Keesokan harinya, kami menikmati sarapan pagi secara buffet yang disediakan oleh chef resort tersebut.

Setelah itu, kami mendengar taklimat keselamatan dan diperkenalkan dengan malim gunung yang akan menjaga kami. Peranan malim gunung ini bukanlah sebagai pembantu kalau sekiranya kita keletihan, peranan mereka adalah memastikan kita mampu mendaki mengikut 'pace' kita. Kalau kita keletihan, maka malim gunung akan turut menunggu kita. Kecuali sekiranya berlaku kecemasan barulah malim gunung ini akan bertindak melaksanakan proses yang sewajarnya.

Maka kami pun mendaki lah dengan tekun dan sabar. Pendakian sebenarnya tidak lah sukar, namun yang menjadi kekangan adalah mental dan fizikal kita sendiri. berdasarkan pengalaman saya, kalau kita melangkah demi langkah tanpa berehat terlalu lama, inshAllah kita tetap akan sampai di destinasi yang dituju iaitu puncak Gunung Kinabalu.


Pendakian

Lebih kurang jam 4:00 petang, kami mula sampai di Laban Rata, iaitu tempat penginapan kami sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Kinabalu. Di sini kita diminta makan malam dan tidur sehingga jam 2:00 pagi.  

Pit stop di Laban Rata

Pada jam 2:00 pagi kami mengambil sarapan yang disediakan oleh resort. Selepas itu pada jam 2:30 pagi kami memulakan pendakian ke puncak gunung tersebut. Sebaik melepasi Laban Rata, kami mula menempuhi pendakian 60 darjah ke atas. Di bahagian yang sukar, tali untuk kami berpaut disediakan oleh pihak taman negara ini. Ada di beberapa tempat itu, pendakian yang kami mesti tempuhi sehingga 80 darjah. Setelah mendaki sejauh 1 km, kami sampai di Sayat-sayat. Di sinilah penentuan samada kami dapat meneruskan pendakian ke puncak atau tidak. Pihak taman negara mempunyai check point untuk membuat bancian kepada bilangan pendaki yang berjaya melepasinya. Pada masa ini, kepada pendaki yang mempunyai masalah pernafasan seperti semput biasanya akan mengalami masalah untuk meneruskan perjalanan. Selepas hentian Sayat-sayat ini, permukaan pendakian adalah batu sepenuhnya dan pendakian di dalam 30-40 darjah.
Sebelum tiba di puncak Kinabalu bersama isteri tercinta dan Ust Asri Wahab

Setelah berusaha dengan gigih, pada 7 November 2010 jam 6:00 pagi, saya berjaya sampai di Low's Peak iaitu puncak Kinabalu. Apabila sampai di puncak ini, perasaan gembira dan bangga kepada kemampuan diri sendiri. Siapa yang sangka orang 'mandom' macam saya ni mampu menjejakkan kaki di Puncak Kinabalu. Syukur yang teramat sangat.  Cuaca di puncak ini lebih sejuk berbanding lokasi lain di Kinabalu Park ini. 

Di puncak Gunung Kinabalu

Di puncak Gunung Kinabalu bersama isteri tercinta

Keindahan pemandangan di Puncak Kinabalu adalah tidak terbanding. Bayangkan kita berada di atas awan dan kita menerima matahari terbit 30 minit lebih awal daripada orang lain. Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

2 comments:

  1. wah bestnya baca pengalaman hiking gunung kinabalu...teringin jugak nak pergi lepas2 covid ni...

    ReplyDelete
  2. Ya betul. Silalah mendaki dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah swt.

    ReplyDelete